MANILA, 29 Ogos – Aplikasi perkongsian perjalanan, Uber hari ini berkata ia telah membayar hampir AS$10 juta dalam denda dan pampasan pemandu-pemandu untuk kembali beroperasi di Filipina, selepas ia digantung kerana menentang kerajaan.
Agensi pengangkutan negara itu telah menggantung Uber pada 14 Ogos bagi tempoh sebulan, mengatakan syarikat yang beribu pejabat di AS itu mengabaikan arahannya untuk menerima permohonan-permohonan pemandu baru.
Bagaimanapun agensi itu bersetuju untuk menarik semula arahan itu hari ini selepas Uber membayar satu denda berjumlah 190 juta peso (AS$3.7 juta), ditambah 300 juta peso (AS$5.8 juta) kepada pemandu-pemandunya untuk memberi pampasan kepada mereka kerana kehilangan mata pencarian ketika tempoh penggantungan itu.
Uber akan meneruskan operasi-operasinya sejurus selepas pengumuman itu.
“Kami telah mematuhi keperluan-keperluan yang digariskan oleh (pengawal-pengawal selia) dan bersyukur atas peluang untuk berkhidmat di Filipina semula,” jurucakap Uber di Filipina, Catherine Avelino memberitahu AFP.
Agensi pengangkutan itu tahun lepas mengharamkan permohonan-permohonan baru bagi khidmat perkongsian perjalanan, seperti Uber dan pesaing Asia Tenggara Grab, apabila ia mengkaji bagaimana untuk mengawal selia industri membangun itu.
Para pengawal selia berkata apabila Grab pada akhirnya mengikuti arahan itu, Uber “secara terbuka menentangnya”.
Penggantungan Uber itu telah mencetuskan huru-hara di media sosial Filipina dengan para penumpang mengkritik kerajaan mengusir aplikasi yang boleh dipercayai, terutamanya di Manila yang terkenal dengan keadaan lalu lintas dan pengangkutan awamnya yang teruk.
Uber mendapat satu francais untuk beroperasi di Filipina dalam tahun 2015 dan sekarang mempunyai kira-kira 66,000 pemandu.
Agensi pengangkutan itu hari ini mengakui cemuhan yang diterimanya daripada orang awam namun menegaskan ia adalah bagi memastikan keselamatan penumpang.
“Ini adalah keputusan yang menyakitkan. Ini bukanlah keputusan yang popular namun sebagai badan penyelia kami akan mengambil beban ini. Ia adalah sebahagian daripada kerja kami,” jurucakap agensi pengangkutan, Aileen Lizada memberitahu para wartawan. – AFP