Uber bayar saman AS$20j

SAN FRANCISCO, 13 Mac – Uber telah bersetuju untuk membayar AS$20 juta untuk menyelesaikan saman mahkamah yang menuduh perkhidmatan perkongsian kenderaan mereka mengklasifikasikan pemandu sebagai kontraktor untuk mengelak daripada membayar gaji minimum dan menyediakan faedah.

Penyelesaian yang difailkan Isnin lalu menyatakan pihak-pihak yang terlibat dalam saman berusia enam tahun itu masih mempunyai pertikaian ‘bona fide’ mengenai jumlah tertentu upah bergantung kepada pemandu itu sendiri.

Perjanjian yang dicadangkan memerlukan kelulusan seorang hakim persekutuan untuk mengendalikan kes itu.

Kes yang difailkan pada Ogos 2013 meliputi pemandu Uber di California dan Massachusetts yang menyediakan perkhidmatan kepada penumpang bila-bila masa hingga 28 Februari tahun ini yang tidak terikat kepada klausa timbang tara.

Dianggarkan 13,600 pemandu terjejas dan Uber menghadapi tuntutan timbang tara daripada pemandu yang tidak diwakili oleh saman ‘class-action’.

“Uber telah banyak berubah sejak 2013,” kata syarikat yang berpangkalan di San Francisco itu dalam satu kenyataan sambil menyatakan ia telah menambah program ganjaran pemandu serta pilihan untuk membiarkan penumpang memberikan tip kepada pemandu.

“Kami gembira dapat mencapai penyelesaian dalam perkara ini dan kami akan terus berusaha keras untuk meningkatkan kualiti, keselamatan dan martabat kerja bebas.”

Penyelesaian itu juga meminta Uber untuk membuat perubahan termasuk tidak lagi mendeaktifkan akaun pemandu kerana menerima kurang sambutan atau perlu membuat proses rayuan rasmi jika digugurkan daripada perkhidmatan tersebut.

Perjanjian itu tidak menyelesaikan persoalan besar sama ada pekerja sambilan seperti pemandu Uber adalah kontraktor bebas atau harus dipertimbangkan oleh undang-undang untuk dikira menjadi pekerja dengan hak bayaran, ganjaran dan faedah.

Raksasa perkhidmatan perkongsian kenderaan itu akan melancarkan penawaran saham tidak lama untuk menjadi ‘Amazon pengangkutan pada masa depan. – AFP