Uber disaman gagal sedia kemudahan kerusi roda

NEW YORK, 19 Julai – Syarikat peneraju perkhidmatan kongsi kereta, Uber, disaman kumpulan hak asasi orang kelainan upaya (OKU) kerana didakwa mendiskriminasikan penumpang golongan itu di bandar raya New York, lapor agensi berita Xinhua.

Menerusi aduan tindakan yang dikemukakan semalam, Uber didakwa melanggar Undang-undang Hak Asasi Manusia Bandar Raya New York kerana 99.9 peratus daripada lebih 58,000 kenderaan yang menawarkan perkhidmatan Uber di bandar itu tidak dapat digunakan mereka yang berkerusi roda.

“Uber memperlihatkan mereka mempunyai kenderaan yang sesuai digunakan OKU, tetapi apabila pengguna mahu menggunakan perkhidmatannya, mereka terpaksa menunggu lebih lama atau sama sekali dinafikan perkhidmatan itu.

“Ia seolah-olah perkhidmatan yang ditawarkan itu hanya muslihat untuk menutup mata, direka semata-mata untuk mengelak daripada dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa,” demikian antara kandungan aduan yang dikemukakan.

Gambar fail pada 1 Mac 2017 menunjukkan bahagian luar ibu pejabat Uber di San Francisco. Uber disaman kumpulan hak asasi orang kelainan upaya (OKU) kerana didakwa mendiskriminasikan penumpang golongan itu di bandar raya New York. – AP
Gambar fail pada 1 Mac 2017 menunjukkan bahagian luar ibu pejabat Uber di San Francisco. Uber disaman kumpulan hak asasi orang kelainan upaya (OKU) kerana didakwa mendiskriminasikan penumpang golongan itu di bandar raya New York. – AP

Tuntutan 31 muka surat itu difailkan di Mahkamah Agung New York di Manhattan oleh Disability Rights Advocates, organisasi perundangan bukan berasaskan keuntungan yang mewakili beberapa pertubuhan seperti Brooklyn Centre for Independence of the Disabled, Taxis for All Campaign, Disabled in Action of Metropolitan New York dan individu iaitu Valerie Joseph dan Gabriela Amari.

Kes berkenaan adalah susulan tuntutan mahkamah yang dikemukakan kumpulan hak asasi di Chicago dan Washington D.C. yang menuduh Uber gagal memberikan akses kepada mereka yang berkerusi roda.

Sementara itu, Uber dalam satu kenyataan berkata “teknologinya telah berkembang dan memberi akses kepada semua golongan penumpang termasuk mereka yang kelainan upaya, selain membantu golongan OKU memperoleh pendapatan dengan cara yang baru.” – Bernama