Uber kurangkan 3,000 pekerjaan akibat pandemik COVID-19

NEW YORK, 19 MEI – Uber telah mengurangkan 3,000 pekerjaan dari tenaga kerjanya dalam dua minggu akibat COVID-19 yang telah menjejaskan permintaan perjalanan yang semakin berkurangan.

Syarikat yang berpangkalan di San Francisco telah mengurangkan seperempat tenaga kerjanya sejak tahun ini, memecat 3,700 orang pekerja pada awal bulan ini.

Uber akan kembali fokus pada perniagaan dengan perkhidmatan pengangkutan, penghantaran makanan dan barangan runcit, kata Ketua Pegawai Eksekutif, Dara Khosrowshahi, kepada pekerja kelmarin.

Syarikat pengangkutan terbesar itu akan tutup atau menggabungkan 45 pejabat mereka di seluruh dunia dan hampir semua jabatan akan turut terjejas akibat pemberhentian pekerja itu.

Syarikat itu menutup perniagaannya untuk mengembangkan produk dan perkhidmatan platformnya serta unit kecerdasan buatannya (AI).

Ia juga akan mencari alternatif strategik untuk aplikasi merekrut pekerjaannya, Uber Works, kata Khosrowshahi.

Logo Uber muncul di atas pos perdagangan di Bursa Saham New York. Uber telah mengurangkan 3,000 pekerjaan kerana permintaan perjalanan yang berkurangan. – AP

Perniagaan Uber, penjana keuntungan utama syarikat, merosot sebanyak 80 peratus pada bulan April berbanding bulan yang sama pada tahun lalu.

Uber menanggung kerugian sebanyak AS$2.9 bilion pada suku pertama tahun ini ketika pandemik COVID-19 melanda menjejaskan pelaburannya di luar negara. Syarikat yang bergantung pada ekonomi perkongsian itu telah dibelenggu wabak, ketika orang ramai hanya tinggal di dalam rumah dan berusaha membendung penularan virus.

Lyft, saingan utama Uber di AS, telah memberhentikan 982 orang pekerjanya bulan lalu, atau 17 peratus tenaga kerjanya kerana permintaan yang menurun. Careem, anak syarikat Uber di Timur Tengah, mengurangkan tenaga kerjanya sebanyak 31 peratus. Uber menganggarkan akan dikenakan caj AS$175 juta hingga AS$220 juta berkaitan dengan penstrukturan semula, termasuk pemberhentian pekerja, faedah lain serta kos penutupan pejabat, menurut kenyataan persekutuan.

Perubahan itu dirancang untuk menjimatkan AS$1 bilion setiap tahun. Pemandu Uber dianggap sebagai pekerja bebas atau pekerja kontrak, bukan pekerja sepenuh masa, maka walaupun penurunan pendapatan mereka tinggi, mereka tidak layak mendapat cuti atau faedah daripada syarikat.

California mencabarnya baru-baru ini, menyaman Uber dan Lyft dan menuduh mereka menyalah anggap pemandu mereka sebagai kontraktor bebas di bawah undang-undang buruh baharu di negeri ini. Saman itu menuntut ganti rugi untuk gaji yang belum dibayar kepada pemandu. – AP