Uber rancang beli Postmates

SAN FRANCISCO, 30 JUN – Uber kini sedang dalam perbincangan untuk membeli aplikasi penghantaran makanan Postmates dalam perjanjian bernilai berbilion dolar, lapor media Amerika Syarikat.

Syarikat yang berpusat di San Francisco itu terjejas teruk oleh wabak koronavirus – bulan lalu mengurangkan satu perempat tenaga kerja globalnya – dan telah berusaha untuk meningkatkan perkhidmatan penghantaran makanannya Uber Eats.

Perbincangan untuk mencapai perjanjian bernilai AS$2.6 bilion dengan Postmates baru bermula, kata sumber kepada New York Times dan Wall Street Journal, tetapi menekankan bahawa tidak ada sebarang perjanjian disahkan.

Kesepakatan itu akan mengukuhkan Uber sekali gus membantu Postmates, sebuah syarikat berusia sembilan tahun yang berjuang menentang pesaing penghantaran makanan yang lebih besar, kata New York Times, kelmarin.

Tawaran Uber bernilai AS$6 bilion yang dibuat bulan lalu untuk memperoleh Grubhub – satu lagi aplikasi penghantaran makanan AS – gagal. Grubhub kemudian dibeli oleh pesaing Eropah, Just Eat Takeaway.

Uber mengatakan dalam kemas kini suku tahunan awal tahun ini bahawa ia mengalami kerugian hampir AS$3 bilion dan perniagaannya mencatatkan penurunan sekitar 80 peratus pada April. Bagaimanapun, syarikat gergasi itu menunjukkan pertumbuhan pendapatan yang tinggi dalam perkhidmatan penghantaran makanan.

Uber dan Postmates bagaimanapun tidak memberi komen mengenai kemungkinan perjanjian tersebut. – AFP

Gambar fail pada 1 Mei lalu menunjukkan seorang penunggang motosikal Uber Eats dilihat ketika menghantar makanan di Lausanne ketika penularan wabak COVID-19. Uber kini sedang dalam perbincangan untuk membeli aplikasi penghantaran makanan Postmates dalam perjanjian bernilai berbilion dolar. – AFP