Uber setuju beli Postmates

SAN FRANCISCO, 6 JULAI – Uber bersetuju untuk membeli aplikasi penghantaran makanan Postmates dalam perjanjian bernilai berbilion dolar, menurut Bloomberg.

Firma perkongsian perjalanan di San Francisco itu terkesan teruk oleh pandemik koronavirus, mengurangkan satu perempat daripada tenaga kerja global pada Mei – dan telah menimbang untuk merangsang perkhidmatan hantaran makanan Uber Eats.

Bloomberg melaporkan satu perjanjian bernilai AS$2.65 bilion dengan firma baharu Postmates akan diumumkan hari ini di Amerika Syarikat, memetik orang yang rapat dengan perkara itu.

Perjanjian itu akan membantu Uber dan Postmates, firma berusia sembilan tahun yang telah bergelut untuk bersaing dengan firma hantaran makanan lebih besar, lapor New York Times.

Tawaran Uber bernilai AS$6 bilion pada tahun ini untuk memperoleh Grubhub – satu lagi aplikasi hantaran makanan AS – menemui kegagalan. Grubhub seterusnya dibeli oleh pesaing Eropah Just Eat Takeaway.

Uber berkata dalam pengemaskinian suku pada awal tahun ini bahawa ia kerugian hampir AS$3 bilion dan perniagaannya merosot 80 peratus pada April.

Bagaimanapun, syarikat berkata ia melihat pertumbuhan pendapatan yang kukuh untuk operasi hantaran makanan Eats.

Uber dan Postmates tidak mempunyai komen mengenai perjanjian tersebut. – AFP

Gambar fail menunjukkan logo Postmates di telefon pintar seorang pelanggan. – AFP