Tuesday, April 22, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ubi manis berkhasiat untuk kesihatan

    Oleh Amri HTZ

     

    MENGAMBIL makanan yang terdiri daripada buah-buahan dan sayur-sayuran merupakan amalan hidup sihat yang setentunya membawa kebaikan pada tubuh badan manusia.

    Salah satu jenis sayuran yang popular yang mampu memberikan kadar karbohidrat kompleks yang tinggi ialah ubi manis. Selain daripada memberikan karbohidrat, ubi manis juga dipercayai boleh membuatkan kulit menjadi licin, menjaga tekanan darah, menjaga berat badan dan juga mampu melawan sel kanser bagi pengamalnya.

    Dalam D.I.Y minggu ini, kita akan melakukan kelainan dengan menanam sendiri ubi manis dengan cara yang mudah. Berikut adalah cara-caranya;

    Barang yang diperlukan

    Bagi penanaman ubi manis yang diinginkan, barang-barang yang diperlukan adalah bekas kosong, air, kayu pencungkil gigi, pisau, bekas kecil atau pasu kecil (untuk proses menyemai), pasu atau guni (tempat menanam ubi), tanah organik dan tali bersaiz kecil (untuk mengikat kayu sokongan).

    Ubi manis mempunyai pelbagai khasiat yang terkandung di dalamnya.
    Ubi manis mempunyai pelbagai khasiat yang terkandung di dalamnya.

    MPDIY LOGO

    Ubi manis yang telah dibelah dua dan kayu pencungkil gigi digunakan untuk menusuk sudut sisi ubi.
    Ubi manis yang telah dibelah dua dan kayu pencungkil gigi digunakan untuk menusuk sudut sisi ubi.
    Proses pembenihan perlu dipantau bagi memastikan ubi yang digunakan kekal hidup dan mengeluarkan akar.
    Proses pembenihan perlu dipantau bagi memastikan ubi yang digunakan kekal hidup dan mengeluarkan akar.

    Proses pembenihan dan penanaman

    Pada langkah pertama, cuci permukaan luar ubi manis dengan menggunakan berus lembut (berus untuk sayur) untuk menghilangkan kotoran yang boleh menghalang kulit luaran ubi untuk menghasilkan benih yang sihat dan baik. Selain itu ia juga bertujuan untuk membuang sisa-sisa racun perosak yang digunakan oleh para petani untuk menghalang tumbuhan daripada serangga perosak.

    Manakala pada langkah kedua, sediakan bekas yang akan digunakan untuk proses pembenihan. Isikan bekas tersebut dengan air yang bersih atau air hujan yang tersimpan sebanyak ¾ daripada bekas tersebut.

    Pada proses ketiga, dengan menggunakan pisau pemotong, belah ubi yang telah disediakan di bahagian tengah untuk dibahagikan kepada dua. Kayu pencungkil gigi yang terbuat daripada buluh (lebih kuat dan tahan lama dibandingkan dengan kayu biasa) perlu ditusukkan pada bahagian sisi ubi di tiga atau empat sudut.

    Penggunaan kayu pencungkil ini adalah sebagai pemegang ubi pada bekas untuk dijadikan penanaman benih kerana ubi yang digunakan perlu berada dalam keadaan satu pertiga atau separuh daripadanya terendam. Selain memastikan tanaman terdedah kepada cahaya matahari (secara tidak langsung), pastikan bahagian dalaman ubi yang terdedah menghadap ke bawah (dalam bekas) kerana hanya bahagian permukaan luar ubi yang akan mengeluarkan pucuk.

    Pada setiap dua atau tiga hari (selama seminggu), perhatikan ubi yang telah ditanam pada bahagian yang berendam dengan air sama ada telah mengeluarkan akar ataupun tidak. Jika tiada sebarang perubahan terjadi, anda perlu membuang ubi tersebut dan menggantikan dengan yang baru. Jika terdapatnya akar pada bahagian luaran ubi tersebut, ini menandakan pembenihan yang dilakukan adalah berjaya dan perlu menunggu untuk ubi mengeluarkan pucuk.

    Ketika proses penyemaian, batang ubi yang telah mengeluarkan akar kira-kira satu inci akan ditanam ke bekas yang berisi tanah.
    Ketika proses penyemaian, batang ubi yang telah mengeluarkan akar kira-kira satu inci akan ditanam ke bekas yang berisi tanah.
    Kayu sokongan digunakan bagi memudahkan batang ubi untuk menjalar dan tumbuh sihat sekali gus tidak menyemakkan kawasan kebun.
    Kayu sokongan digunakan bagi memudahkan batang ubi untuk menjalar dan tumbuh sihat sekali gus tidak menyemakkan kawasan kebun.

    Setelah beberapa minggu, pada bahagian luar permukaan ubi akan mengeluarkan pucuk atau batang ubi manis. Batang-batang ini tadi perlu dicabut atau dipatahkan pada bahagian bawah daripada ubi yang asal. Batang ubi yang telah diambil ini tadi perlu menjalani proses penyemaian di tempat bekas baru yang berisi air. Selang beberapa hari, batang yang disemai ini akan mengeluarkan akar dan jika akarnya telah mencecah kira-kira satu inci panjang, ini bermakna ubi yang disemai ini bersedia untuk ditanam di dalam bekas atau batas yang telah disediakan.

    Tempat atau bekas yang digunakan untuk menanam ubi perlulah sesuatu yang mudah untuk digunakan (contohnya guni). Ini akan memudahkan anda untuk mengambil hasil apabila ia sudah bersedia untuk di memetik. Selain itu, tanah yang digunakan perlulah terdiri daripada tanah organik. Ini akan menghasilkan ubi yang berkualiti dan sihat selain bermanfaat untuk tubuh bandan manusia. Selain itu tanah organik yang digunakan juga lembut untuk memudahkan akar tumbuh hidup dan proses memetik nanti.

    Setelah batang ubi mencecah 10-12 inci panjang, tempatkan kayu sokongan yang telah disediakan untuk memudahkan batang ubi untuk menjalar. Tujuan menjadikan batang ubi ini tumbuh menjalar agar ia mudah mendapatkan cahaya matahari (memberikan kualiti ubi yang tinggi) selain menjadikan tempat penanaman anda nampak rapi (menggelakkan kawasan menjadi terlalu semak).

    Bagi proses memetik ubi yang telah matang, perhatikan tanda-tanda yang terdapat pada tanaman anda seperti daun menjadi layu, mengeluarkan bunga atau dalam tempoh masa enam hingga lapan minggu daripada mula proses penanaman.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda