Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Ucapan ketika menerima hadiah

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Buah tangan, hadiah dan seumpamanya, boleh menggembirakan hati si penerima, mampu mengeratkan hubungan persahabatan antara pemberi dan penerima, serta penyebab yang akan mengukuhkan lagi ikatan kasih-sayang dan silaturrahim, lebih-lebih lagi jika penerima itu adalah dari kalangan ahli keluarga dan kerabat.

    Amalan memberi hadiah secara umumnya adalah sunat dan digalakkan sebagaimana dalam sebuah riwayat daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    “Kamu saling memberi hadiah (nescaya) kamu akan saling mengasihi (berkasih sayang).” (Hadits riwayat al-Baihaqi)

    Di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, para raja telah mengutus hadiah kepada Baginda umpama pakaian, binatang ternak dan hamba (pembantu) perempuan. Baginda juga menerima hadiah daripada an-Najasyi (gelaran raja bagi negeri Habsyah) seorang yang beragama Islam, lalu digunapakai hadiah tersebut dan Baginda juga mengutus hadiah kepada an-Najasyi.

    Bagaimanapun Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga sentiasa berhati-hati sebelum Baginda menikmati atau memakan sesuatu makanan, malahan menyelidiki terlebih dahulu sama ada makanan tersebut merupakan hadiah ataupun sedekah, dikhuatiri ia adalah sedekah.

    Apabila menerima hadiah, buah tangan dan selainnya, balaslah dengan ungkapan yang sering digunakan seperti ‘terima kasih’ dan seumpamanya kerana ia mencerminkan ketinggian akhlak dan budi pekerti yang mulia.

    Ini disebabkan Baginda tidak akan memakannya sekiranya ia adalah sedekah.

    Secara zahirnya, suatu pemberian kepada mereka yang memerlukan dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah Ta‘ala, maka pemberian itu adalah sedekah.

    Manakala suatu pemberian kepada seseorang dengan tujuan mahabbah (kasih-sayang) dan memuliakannya, maka pemberian itu adalah hadiah.

    Adab apabila menerima hadiah

    Pada adat kebiasaannya, apabila seseorang menerima hadiah, buah tangan dan selainnya, ungkapan yang sering digunakan sebagai balasan dan tanda berbesar hati adalah ‘terima kasih’ dan yang seumpamanya. Dengan ucapan ringkas seperti terima kasih itu mencerminkan ketinggian akhlak dan budi pekerti yang mulia. Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    “Tidak bersyukur kepada Allah seorang yang tidak bersyukur (berterima kasih) kepada manusia.” (Hadits riwayat Abu Daud)

    Apabila seseorang telah melakukan suatu kebaikan dan memberi pertolongan, maka sewajarnya kita membalasnya dengan balasan yang setimpal. Bagaimanapun jika itu (balasan yang setimpal) tidak mampu dilakukan dan dilaksanakan, maka sebaiknya kita do‘akan pemberi berkenaan dengan do‘a yang baik sehinggalah kita merasakan do‘a kita itu telah dapat membalas perbuatan dan pertolongan baik tersebut.

    Telah diriwayatkan daripada Usamah bin Zaid Radhiallahu ‘anhu bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    “Sesiapa yang dibuat kebaikan kepadanya, maka katakanlah kepada orang yang membuat kebaikan itu: “Semoga Allah membalasmu dengan kebaikan.” Sesungguhnya ucapan demikian itu adalah sebaik-baik pujian (ucapan).”(Hadis riwayat Ibnu Hibban)

    Selain itu, mana-mana do‘a yang baik juga boleh diucapkan sebagai balasan kepada suatu perbuatan baik atau pertolongan sepertimana Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah mendo‘akan seseorang yang berbuat baik kepada Baginda dengan do‘a berikut:

    Dari Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma: “Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam memasuki bilik air kecil, lalu aku meletakkan air wudhu untuk Baginda. Baginda bersabda: “Siapakah yang meletakkan ini (air wudhu)?” Maka Baginda pun diberitahu.

    Lalu Baginda berdo‘a: “Ya Allah pandaikanlah dia dalam bidang agama.”(Hadis riwayat al-Bukhari)

    Secara khusus menyentuh mengenai hadiah, antara adab yang lagi indah diajarkan dalam agama Islam itu ialah digalakkan bagi pemberi dan penerima sesuatu hadiah untuk saling mendo‘akan, umpamanya dengan berkat dan selainnya.

    Pada asasnya dianjurkan bagi orang yang menerima suatu hadiah itu untuk menghargai suatu pemberian itu dengan ucapan atau do‘a bagi orang yang memberikannya hadiah.

    Namun apabila orang yang memberi hadiah itu dido‘akan oleh si penerima hadiah, maka digalakkan pula baginya mendo‘akan kembali si penerima.

    Malahan dianjurkan kepada pemberi hadiah supaya mendo‘akan dengan do‘a yang setimpal atau setara sepertimana do‘a si penerima hadiah yang mendo‘akannya ketika menerima hadiah tersebut. Perkara ini ada disebut dalam suatu kisah yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha beliau berkata:

    “Rasulullah Shallallahu ‘alai-hi wasallam pernah diberi hadiah berupa seekor kambing, Baginda bersabda kepadanya (‘Aisyah): “Bahagi-bahagikan ia (kambing tersebut).”

    Apabila si pembantu telah kembali (dari membahagikan kambing) maka ‘Aisyah bertanya kepadanya: “Apa yang mereka katakan?”

    Si pembantu menjawab: “Mereka mengucapkan ‘Baarakallahu fiikum’ (Semoga Allah memberkati kamu sekalian).”

    Lalu ‘Aisyah mengucapkan: “‘Wa fiihim baarakallah’ (dan semoga Allah memberkati mereka). Kita membalas mereka dengan misal (seumpama) apa yang mereka ucapkan, dan semoga pahala kita tetap bagi (diri) kita.” 

    Menerima hadiah daripada orang bukan Islam

    Pada realitinya, sesetengah orang Islam bukan hanya menerima buah tangan atau hadiah daripada keluarga, sahabat-handai atau jiran yang terdiri daripada orang Islam semata-mata, akan tetapi juga menerima buah tangan atau hadiah daripada orang bukan Islam.

    Persoalannya apakah hukum menerima hadiah daripada seseorang yang bukan beragama Islam? Menerima hadiah daripada orang bukan Islam hukumnya adalah harus sebagaimana juga harus menerima hadiah daripada orang Islam kerana ittiba‘ (mengikut perbuatan dan Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam).

    Dalil dalam perkara ini antaranya ialah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri menerima utusan hadiah daripada al-Muqawqis yang bukan beragama Islam.

    Menurut Imam as-Suyuthi Rahimahullah dalam fatwanya adalah harus menerima hadiah daripada orang bukan Islam dan harus bersahabat dengan mereka.

    Ucapan kepada pemberi bukan Islam

    Daripada penjelasan di atas, ketika menerima hadiah, selain daripada ucapan terima kasih, adalah sunat bagi kedua-dua penerima dan pemberi untuk saling mendo‘akan antara satu sama lain dengan berkat dan seumpamanya, sekiranya kedua-kedua pemberi dan penerima adalah beragama Islam. Bagaimanakah pula cara untuk mendo‘akan pemberi yang bukan beragama Islam? Apakah ada do‘a-do‘a tertentu atau adab-adab yang dianjurkan dalam Islam mengenainya?

    Sesuai dengan agama Islam yang bersifat syumul, maka Islam juga telah menggariskan cara tertentu untuk seseorang itu membalas budi, mendo‘akan, mengucapkan terima kasih, tahniah atau selamat dan seumpamanya kepada sahabat, jiran atau keluarga yang bukan berugama Islam. Kerana itu, terdapat jenis ucapan atau do‘a yang layak dan dibolehkan untuk diucapkan kepada orang bukan Islam atas balasan suatu kebaikan atau pertolongan yang diberikannya.

    Disebutkan dalam satu kisah daripada sahabat Anas Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam meminta air minum daripada seorang Yahudi, lalu Yahudi tersebut pun memberikan air kepada Baginda. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kemudian bersabda kepadanya: “Jammalakallah” yang bererti: “Allah Ta‘ala elokkan kamu”.

    Diceritakan bahawa Yahudi itu tidak kelihatan uban (pada dirinya) sehinggalah dia mati.
    Menurut al-‘Allamah al-Ardabili di dalam kitab al-Anwar adalah harus mengucapkan kesejahteraan kepada orang bukan Islam dengan menggunakan selain daripada perkataan “Assalamu‘alaikum” seperti ucapan “Allah beri hidayah kepada awak”.

    Khusus mengenai jiran yang bukan beragama Islam, dibolehkan memberi ucapan sejahtera kepadanya apabila dia dalam kegembiraan (kegembiraan bukan kerana suatu sempena atau upacara keugamaan) seperti menyambut kelahiran anak atau mendapat kejayaan dan memberi takziah bila dia dalam kesedihan, menziarahinya bila sakit dan mati dengan batas-batas tertentu.

    Selain itu, mendo‘akan mereka supaya masuk Islam dan menjadi jiran baik, aman kepada jiran Islam dan baik hati agar kekal perhubungan yang baik dan mendo‘akan mereka supaya makmur.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...