KUALA LUMPUR, 25 NOV – Ucapan tahniah terus datang mencurah-curah daripada pemimpin dan tokoh dunia kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.
Antara yang menzahirkan ucapan tahniah ialah Presiden Indonesia, Joko Widodo.
Anwar, tokoh yang sudah sekian lama dikenali dan dihormati rakyat Indonesia, tulis Presiden yang lebih mesra dengan panggilan Jokowi dalam hantaran di akaun media sosialnya, hari ini.
“Saya berharap kedekatan tersebut membuat hubungan dua negara serumpun semakin kukuh dalam semua bidang terutamanya dalam bidang ekonomi, perbatasan dan perlindungan warga negara,” katanya.
Jokowi yang menjadi ketua negara pertama menghubungi Anwar selepas pelantikannya, mendoakan agar Perdana Menteri diberikan kekuatan dan kemudahan dalam memimpin Malaysia.
Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong pula mempelawa Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melawat republik itu tidak lama lagi.
“Saya mengundang PM Anwar untuk melawat Singapura tidak lama lagi. Saya berharap dapat bekerjasama dengan beliau dan kerajaan baharu untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala,” kata Lee dalam kemas kini tarba-harunya di Facebook hari ini.
Lee berkata beliau sudah bercakap dengan Anwar hari ini dan mengucapkan tahniah kepada pemimpin itu yang telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.
Beberapa pemimpin dunia Arab merakamkan ucapan tahniah termasuk Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman.
Agensi Berita Qatar (QNA) turut melaporkan perutusan tahniah Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani dan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Qatar, Sheikh Khalid bin Khalifa bin Abdul Aziz Al Thani kepada Anwar.
Sementara itu, Perdana Menteri Yaman, Dr Maeen Abdulmalik Saeed juga merakamkan ucapan tahniah di samping mendoakan agar Malaysia mencapai kemajuan pada masa akan datang. – Bernama