UCT bina kemudahan pembuatan

KUALA LUMPUR, 30 JULAI – Ultra Clean Holdings Inc (UCT), pemaju dan pembekal subsistem kritikal yang tersenarai di NASDAQ Amerika Syarikat akan membina kemudahan pembuatan berkeluasan 300,000 kaki persegi di Taman Perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang.

Kemudahan itu dijadual memulakan pembinaan pada suku ketiga 2020 yang berpotensi memberi pekerjaan kepada 650 individu dalam tempoh lima tahun akan datang dalam bidang pengeluaran, kejuruteraan, penyelidikan dan pembangunan serta pengurusan kualiti.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata projek itu akan menjadi penghubung kepada industri elektrik dan elektronik yang telah kukuh di Malaysia.

“Ia akan turut meningkatkan legasi negara sebagai destinasi pelaburan ideal di rantau ini yang menawarkan persekitaran perniagaan mampan bagi memenuhi strategi pelaburan menyeluruh pelabur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata MITI dan agensi-agensinya kekal komited untuk meningkatkan pelaburan berasaskan teknologi tinggi, nilai tambah tinggi dan berasaskan pengetahuan di negara ini. – Bernama