Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Udang karang terancam dilaut, beri harapan hidup di darat

    Gambar AFP

    WHITBY, UNITED KINGDOM – Kawanan udang karang kecil itu selamat daripada pemangsa, termasuk sesama spesiesnya, ketika berputar-putar dalam tangki plastik putih yang besar yang berputar oleh arus buatan.

    Dalam beberapa minggu lagi, sebagai sebahagian daripada projek pemuliharaan, kawanan udang karang kecil itu akan meninggalkan tempat penetasan kecilnya di pelabuhan Whitby di timur laut England dan dibebaskan ke laut lepas.

    Whitby, yang mempunyai gereja yang hancur, yang menjadi tarikan ramai, menjadi inspirasi penulis ‘Dracula’, Bram Stoker, merupakan pelabuhan udang karang ketiga terbesar di Eropah.

    Kira-kira 100,000 ekor udang karang ditangkap setiap tahun, memberikan pekerjaan kepada 150 orang. Joe Redfern, yang mengendalikan pusat penetasan udang karang Whitby, berharap untuk melepaskan jumlah yang sama setiap tahun dari tangki-tangkinya.

    “Kami ingin memastikan bahawa alam sekitar marin dilindungi dan populasi udang karang dikekalkan untuk masa depan,” kata Redfern, graduan lulusan biologi berusia 31 tahun kepada AFP.

    Induk udang kara yang mempunyai telur-telur yang akan ditetaskan di Whitby Lobster dalam usaha membebaskan 100,000 udang karang cukup umur ke lautan bagi mempertingkatkan keseimbangan ekologi dan melindungi industri udang karang bagi generasi akan datang.
    Pengurus dan ahli biologi marin, Joe Redfern memeriksa udang karang yang baru menetas di Pusat Penetasan Whitby Lobster di Whitby, utara England baru-baru ini. Pusat itu dibina bagi memulihara populasi udang karang yang terancam di lautan.
    Sukarelawan Richard Fewlass memeriksa udang karang dewasa di pusat tersebut.
    Anak udang karang kecil yang baru ditetaskan di Pusat Whitby Lobster.

    Peralatan menangkap udang karang tersusun tinggi di dermaga pelabuhan, tetapi udang karang dahulunya merupakan sebahagian daripada industri perikanan yang lebih besar di Whitby.

    Tangkapan ikan putih, merupakan hasil utama bandar itu, telah musnah akibat penangkapan yang berlebihan dan perubahan iklim. Nelayan juga menyalahkan kuota Kesatuan Eropah sebelum Britain keluar dari kesatuan itu.

    Pada tahun 1990an, terdapat kira-kira 30 bot perikanan besar di Whitby tetapi pada tahun 2005, hanya tinggal satu menurut Redfern, yang juga seorang nelayan.

    Ikan putih seperti kod dan haddock telah berhijrah ke perairan yang lebih sejuk di utara. Beberapa bot Whitby berpindah bersamanya, ke pelabuhan Peterhead dan Aberdeen, Scotland.

    “Orang-orang yang tidak mahu berpindah, terpaksa beralih kepada menangkap kerang,” kata Jonathan Parkin, seorang nelayan Whitby berusia 43 tahun.

    Kemusnahan besar

    Para nelayan Whitby mengalami bencana baharu pada akhir tahun 2021.

    Udang karang, ketam dan krustasia lain mula mati dalam jumlah yang besar. Punca kematian itu masih misteri.

    Penduduk tempatan bagaimanapun mengesyaki ia adalah kerana projek kerajaan yang menggali untuk membina ‘pelabuhan bebas’ baharu pasca-Brexit di kawasan Teesside, ke utara Whitby.

    Mereka mengatakan penggalian itu telah mengakibatkan pencemaran kimia di dasar laut, peninggalan masa lalu Teesside sebagai pusat industri berat.

    Namun, kajian yang dilakukan oleh pakar bebas yang ditugaskan oleh kerajaan pada bulan Januari menyatakan bahawa ‘kemungkinan besar ada patogen baharu dalam air UK’ adalah puncanya.

    Walau bagaimanapun, rancangan untuk tempat penetasan bermula sebelum kemusnahan itu. Tetapi Redfern berkata ia boleh membantu ‘membangkitkan sedikit harapan kepada komuniti’ dan menunjukkan bahawa ‘sesuatu boleh dilakukan untuk pemulihan semula.’

    Projek ini melibatkan pembenihan udang karang betina, setiap satu membawa ribuan telur dari Laut Utara agar dapat menetas dengan selamat.

    Kanibalisme

    Di laut yang penuh dengan cabaran, kadar kematian untuk anak udang karang hanya satu daripada 20,000, atau 0.005 peratus.

    Dengan memastikan ia membesar di dalam persekitaran yang dilindungi, Redfern berharap dapat meningkatkan kadar kelangsungan hidup kepada 20 atau 30 peratus.

    Semasa ia diberi makan dan berkembang dalam tangki penetasan, anak udang karang tersebut dipisahkan apabila ia mencapai peringkat di mana di alam liar, ia mungkin memakan satu sama lain.

    Selepas dua hingga tiga bulan, ia sedia untuk dilepaskan ke laut.

    “Tentunya apabila kita melepaskannya, tidak semuanya akan bertahan hidup, tetapi apa yang kita lakukan adalah melindungi ia dalam fasa masih anak udang karang yang merupakan tempoh paling penting untuk meneruskan hidup mereka,” kata Redfern.

    Projek ini berjaya mengumpulkan lebih daripada £100,000 untuk memulakan projek ini, melalui dana awam dan tajaan korporat.

    Penderma individu boleh menaja seekor udang karang dan mengikuti perkembangannya sehingga ia dilepaskan semula ke laut.

    Ideanya datang daripada komuniti nelayan Whitby sendiri, yang teraspirasi dari projek serupa di Cornwall, barat daya England.

    “Ini sangat penting,” kata Parkin, yang terlibat dalam projek ini.

    “Kita sedang melepaskan generasi masa depan udang karang untuk generasi nelayan pada masa depan.” –AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...