Udang sebagai umpan ampuh mancing

Oleh Raz AS

Udang merupakan umpan menjadi kegemaran yang digunakan oleh kebanyakan kaki pancing di merata dunia. Ini kerana udang dianggap sebagai umpan universal yang mampu memikat pelbagai jenis ikan pemangsa daripada spesies yang kecil sehinggalah yang besar.

Tidak kiralah digunakan dalam keadaan hidup atau mati atau diambil isi dan dipotong kecil, keberkesanan umpan udang untuk memikat si ikan idaman atau yang tersenarai sebagai gamefish oleh kaki pancing memang tidak dapat disangkal lagi, lebih-lebih lagi kepada kaki-kaki pancing yang memancing di perairan air masin.

Kerana keampuhan udang digunakan sebagai umpan untuk menangkap ikan, bentuk badannya telah ditiru oleh pembuat-pembuat umpan tiruan di seluruh dunia dalam bentuk softplastic dan hardbodied juga gabungan kedua-duanya (crossover).

Kini umpan-umpan udang tiruan yang diperbuat daripada pelbagai jenis bahan dengan saiz, warna, berat dan aksi yang berbeza yang boleh didapati di pasaran dan kedai-kedai alat pancing membolehkan pemancing-pemancing untuk membuat pilihan yang luas sesuai dengan spesies buruan masing-masing dan situasi padang pancing yang dihadapi.

Seperti umpan tiruan lainnya, kebanyakan umpan udang tiruan bergantung pada deria pandang sang ikan untuk mengesannya. Udang hidup mempunyai sepasang mata berwarna hitam namun bersifat reflektif, menjadikan ia mudah dilihat oleh pemangsa-pemangsa yang hadir berdekatannya ketika air keruh atau dalam keadaan cahaya yang kelam dan terhad seperti pada waktu malam.

Antara umpan udang tiruan yang diperbuat daripada pelbagai jenis bahan dengan saiz, warna, berat dan aksi yang berbeza yang boleh didapati di pasaran dan kedai-kedai alat pancing. – Agensi

Oleh yang demikian umpan udang tiruan selalunya direka dengan mata yang boleh bersinar atau glow in the dark untuk tujuan tersebut.

Walau bagaimanapun terdapat juga sebahagian pengilang yang menambahkan bebola besi kecil di dalam umpan udang tiruan rekaan mereka untuk menarik perhatian ikan melalui deria bunyi dan getaran.

Mengetahui aras kedalaman ikan mencari makan merupakan salah satu daripada kunci utama dalam penggunaan umpan udang tiruan. Untuk memburu spesies yang mencari makan di atas dan bawah permukaan air, umpan udang tiruan daripada jenis timbul seperti jenis hardbodied atau jenis softplastic yang tenggelam perlahan merupakan pilihan yang ideal.

Manakala untuk memburu spesies dasar atau memancing di perairan dalam, penggunaan umpan udang tiruan daripada jenis softplastic yang digabungkan penggunaannya bersama jighead atau weighted hook akan lebih membuahkan hasil.

Selain paras kedalaman air, antara faktor yang perlu dipertimbangkan semasa memilih umpan udang tiruan untuk digunakan adalah keadaan dasar. Jika berada di padang pancing yang cetek dan dasarnya dipenuhi struktur seperti batu, rumpai dan kayu-kayan gunakan umpan udang tiruan bermata tunggal bagi mengurangkan risiko sangkut.

Umpan udang tiruan juga ada didatangkan dalam bentuk weedless rig yang mana mata kailnya tersembunyi di dalam badan umpan dan terkeluar apabila disambar ikan, sesuai digunakan di kawasan yang berstruktur, namun begitu perlu diambil kira yang weedless rig sedikit sebanyak mampu mengurangkan peluang hook up.

Menggunakan umpan udang tiruan berlainan sedikit daripada ketika menggunakan umpan tiruan yang lain. Dalam menggayakan umpan udang tiruan, pemancing perlu kenal dengan pergerakan udang hidup di dalam air.

Secara amnya udang hidup bergerak dalam tiga ciri pergerakan, pertama pergerakan berenang dengan sangat perlahan ke hadapan menggunakan kaki renangnya atau berjalan di dasar, kedua pergerakan jatuh ke bawah yang perlahan, dan ketiga pergerakan ke belakang dengan cepat (snapping motion) beberapa kali ketika melarikan diri.

Kesilapan terbesar bagi pemancing-pemancing yang baru berjinak-jinak menggunakan umpan udang tiruan adalah kekurangan kesabaran dengan melakukan retrieve dan penggayaan umpan yang terlalu laju dan agresif.

Dalam penggunaan umpan udang tiruan, pergerakan yang natural adalah sangat efektif untuk memikat ikan yang sedang mencari makan. Kaedah ini dipanggil sebagai finesse fishing di mana penggayaan umpan untuk menarik minat ikan memakannya adalah kerana naluri lapar bukannya kerana provokasi. Ia sangat berkesan untuk memikat ikan yang bersifat kurang agresif atau ketika ikan tidak aktif mengejar umpan.

Dalam hal ini, prinsip ‘slow is the go’ perlulah ditanamkan dalam fikiran pemancing ketika menggayakan umpan udang tiruan untuk membuahkan hasil yang memberangsangkan.