MILAN, 5 SEPT – Permulaan tanpa kalah Roma pada musim Serie A berakhir dengan keputusan menyedihkan apabila mereka dibelasah 4-0 di Udinese semalam, terlepas peluang untuk merampas semula kedudukan teratas.
Pasukan Jose Mourinho hanya melepaskan satu gol dalam empat perlawanan pembukaan kempen mereka, tetapi dibelasah di Stadio Friuli.
“Saya lebih suka kalah satu perlawanan 4-0 daripada empat perlawanan 1-0, kerana akhirnya kami hanya keciciran tiga mata berbanding 12,” Mourinho memberitahu DAZN.
“Sukar diterima kami dan penyokong, tetapi ini adalah kehidupan. Kami mempunyai satu lagi perlawanan pada hari Khamis dan kami tetap meneruskan ke hadapan.”
Roma, yang menamatkan penantian 61 tahun untuk trofi Eropah dengan memenangi Liga Persidangan Europa musim lalu, mengunjungi juara Bulgaria Ludogorets Razgrad pada aksi pembukaan peringkat kumpulan Liga Europa mereka pada Khamis.

Pemain pertahanan sayap remaja Destiny Udogie, yang dipinjamkan dari Tottenham, meletakkan Udinese mendahului minit kelima apabila dia mengambil kesempatan terhadap kesilapan Rick Karsdorp untuk menjaringkan gol buat kali kedua dalam tiga perlawanan.
Tuan rumah menggandakan kelebihan 11 minit separuh masa kedua apabila penjaga gol Roma, Rui Patricio melepaskan rembatan jarak jauh Lazar Samardzic melantun masuk ke gawang.
Roberto Pereyra melencongkan rembatan halus melepasi Patricio dengan baki seperempat jam untuk menumpaskan Roma.
Sandi Lovric pula menambah masalah Roma pada minit ke-82 dengan menamatkan serangan balas, meletakkan Udinese mengatasi lawan mereka ke tempat keempat.
Napoli mendahului kedudukan dengan perbezaan gol daripada juara bertahan AC Milan, yang mengetepikan Inter Milan 3-2 di San Siro pada hari Sabtu. – AFP