UEFA akan siasat Neymar

PARIS, 14 Mac – UEFA kelmarin memberitahu bahawa mereka membuka kertas siasatan berhubung dengan siasatan tatatertib ke atas kenyataan bintang Paris Saint-Germain, Neymar selepas perlawanan Liga Juara-Juara.

PSG tewas kepada kelab Liga Perdana Inggeris, Manchester United 3-1 di tempat sendiri dalam aksi peringkat 16 Liga Juara-Juara pada 6 Mac lalu dan menyebabkan PSG tersingkir daripada pentas Eropah itu.

Pengadil perlawanan menghadiahkan pasukan pelawat sepakan penalti pada saat akhir dengan bantuan VAR. Marcus Rashford menyempurnakan sepakan penalti itu.

Neymar, yang sedang dalam pemulihan daripada kecederaan kaki, menyaksikan perlawanan itu dari tempat penonton di stadium Parc des Princes. Dia kemudiannya mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya kepada VAR menerusi media sosial.

“Siasatan tatatertib tersebut berdasarkan Peraturan Tatatertib UEFA berhubung dengan kenyataan yang dibuat oleh pemain Paris Saint-Germain, Neymar susulan perlawanan itu,” menurut kenyataan UEFA.

Pemain termahal dunia itu berdepan hukuman penggantungan perlawanan daripada UEFA dan ia akan dilaksanakan pada musim depan disebabkan PSG telah tersingkir pada musim ini. – Xinhua

Gambar fail pada 23 Januari 2019 menunjukkan Neymar ketika beraksi dalam Piala Perancis di Stadium Parc des Princes. UEFA membuka kertas siasatan berhubung dengan kenyataan Neymar selepas perlawanan menentang Manchester United baru-baru ini. – AFP