PARIS, 13 MAC – Semua perlawanan Liga Juara-Juara UEFA dan perlawanan Liga Europa yang dijadualkan minggu depan telah ditangguhkan kerana pandemik COVID-19, badan bola sepak Eropah berkata hari ini.
Pengumuman itu dibuat sejurus selepas dua daripada empat perlawanan Liga Juara-Juara yang dijadualkan bagi perlawanan pusingan kedua peringkat 16, antara Manchester City dan Real Madrid, dan antara Juventus dan Lyon telah dibatalkan kelmarin.
Real mengumumkan bahawa skuad mereka telah berada dalam kuarantin selepas salah seorang pemain telah diuji positif virus itu. Pemain pertahanan Juventus Daniele Rugani juga telah diuji positif COVID-19.
Dua lagi perlawanan yang dijadualkan Rabu depan, antara Barcelona dan Napoli dan antara Bayern Munich dan Chelsea, terpaksa ditangguhkan.
“Memandangkan penularan COVID-19 di Eropah dan keputusan yang dibuat oleh kerajaan, semua pertandingan kelab UEFA yang dijadualkan pada minggu depan ditangguhkan,” kata UEFA dalam satu kenyataan.
Penangguhan itu juga menjejaskan semua perlawanan pusingan kedua kelompok 16 Liga Europa.
Enam daripada lapan perlawanan pertama berlangsung kelmarin, empat perlawanan berlangsung di pintu tertutup.
Dua perlawanan lain, Inter Milan dan Getafe dan antara Sevilla dan Roma, dibatalkan. – AFP