UEFA ‘sedia sesuaikan diri’ jika pandemik jejaskan Euro

LISBON, 25 OGOS – Selepas akur terpaksa melewatkan perlawanan Piala Eropah – tiga bulan lebih lewat dari yang dirancang – Presiden UEFA, Aleksander Ceferin merasa sedikit cemas menjelang musim baharu dengan jangkitan kes koronavirus semakin bertambah.

Musim Kejohanan Eropah harus berakhir pada bulan Jun dan Julai 2021.

Tetapi begitu juga musim terakhir harus diselesaikan sebelum wabak memaksa UEFA pada bulan Mac lalu untuk menunda perlawanan. Kekurangan vaksin dan pandemik yang sukar diramal, telah menyebabkan lebih banyak kesukaran logistik bagi menganjurkan kejohanan yang sudah menggunakan 12 buah bandar di seluruh Eropah, dengan perlawanan separuh akhir dan final di Stadium Wembley di London.

“Buat masa ini, semua orang mengesahkan dan buat masa ini kami akan kekal dengan rancangan kami untuk bermain dengan 12 buah negara,” Ceferin berkata dalam temu bual dengan Associated Press. “Tetapi dalam bulan Februari, kami tidak mengetahui bahawa kami tidak akan bermain kejohanan Euro tahun ini. Jadi kami perlu bersedia untuk menyesuaikan diri dengan berbagai-bagai situasi.

Menunda Euro 2020 telah menyebabkan kerugian sebanyak 100 juta euro kepada UEFA, menurut anggaran Ceferin.

Presiden UEFA, Aleksander Ceferin berkata UEFA perlu bersedia untuk menyesuaikan diri dengan berbagai-bagai situasi selepas kejohanan Euro ditunda akibat koronavirus. – AP

Impak kewangan mungkin lebih teruk buat UEFA dan pasukan kebangsaan Eropah jika terdapat lebih banyak gangguan untuk menganjurkan kejohanan.

“Kami terpaksa menilai situasi apabila kami sudah mendapat vaksin dan keadaan kembali normal kerana buat masa ini, kami tidak tahu apa yang akan berlaku dan bila situasi akan kembali normal,” kata Ceferin. “Masalah terbesar dalam semua ini adalah meramal keadaan.”

Koronavirus telah menyebabkan masalah dalam peringkat awal Liga Juara-Juara dan Liga Europa. Pasukan-pasukan dari Kosovo terpaksa menyerah kalah atau menunda perlawanan pada bulan ini disebabkan pemain-pemain mereka dijangkiti COVID-19.

“Ini adalah salah satu perkara yang paling mencabar mengenai pusingan kelayakan pada masa ini,” katanya.

“Tetapi jika kerajaan bertindak dengan tidak membenarkan pasukan tersebut bermain, jadi kami terpaksa berfikir bahawa pasukan-pasukan dari negara tersebut akan bermain di tempat neutral”. – AP