UFC tetapkan tarikh kembali pada 9 Mei

MIAMI, 26 APRIL – Perlawanan Ultimate Fighting Championship (UFC) akan kembali pada 9 Mei dengan pertarungan pertama di Jackonsonville, Florida akan diadakan tanpa penyokong, presiden UFC Dana White mengumumkan.

Sekatan kerana pandemik koronavirus telah menghalang UFC 249 dari diadakan pada Sabtu lalu, yang dilaporkan sepatutnya dilangsungkan di tanah rizab penduduk asli di California.

Tetapi perintah eksekutif dari gabenor Florida, Ron DeSantis dua minggu lalu memberikan peluang untuk mengadakan perlawanan UFC dengan menyatakan status perkhidmatan penting untuk ‘pekerja dalam sukan profesional dan penerbitan media yang mempunyai audien nasional jika lokasi tersebut ditutup kepada orang ramai.’

Oleh sebab itu, UFC 249 akan diadakan di Arena Veterans Memorial di Jacksonville, dibarisi oleh pertarungan lightweight di antara Tony Ferguson dan Justin Gaethje.

“Saya tidak sabar untuk mempamerkan aksi pertarungan hebat untuk peminat,” kata White. “Pasukan saya sudah bersedia dan petinju-petinju merasa teruja untuk kembali ke gelanggang dalam acara berturut-turut.”

Pertarungan lain akan diadakan di tempat yang sama pada 13 hingga 16 Mei, ia ditutup bagi orang ramai dengan hanya beberapa orang ahli produksi yang penting sahaja dibenarkan ke arena.

“Kami sedikit demi sedikit kembali pulih dari segi ekonomi, kami bangga untuk mengadakan pertarungan UFC,” kata datuk bandar Jacksonville, Lenny Curry, mengelar rancangan pertarungan UFC sebagai ‘selamat dan wajar’. – AFP