KAMPALA, 27 NOV – Presiden Uganda kelmarin melanjutkan perintah berkurung selama enam minggu di dua daerah yang merupakan pusat wabak Ebola yang telah meragut 55 nyawa tetapi berkata penyebarannya sedang dibendung.
Walaupun pihak berkuasa kesihatan minggu ini berkata jumlah kes semakin berkurangan. Namun sejak wabak itu diisytiharkan pada 20 September, Ebola telah merebak ke seluruh Uganda sehingga ke ibu negara Kampala.
Dua pusat daerah di tengah-tengah wabak, Mubende dan Kassanda, diletakkan di bawah sekatan 21 hari oleh Presiden Yoweri Museveni pada 15 Oktober.
Langkah-langkah itu termasuk perintah berkurung dari senja hingga subuh, larangan perjalanan peribadi, dan penutupan pasar, bar dan gereja dilanjutkan selama 21 hari lagi yang bermula pada 5 November lalu.
Kelmarin, Museveni mengarahkan sekatan di Mubende dan Kassanda diperbaharui selama 21 hari, menggambarkan keadaan itu sebagai ‘masih rapuh’.
“Jika kami membuka sekarang dan kes muncul, kami akan memusnahkan semua keuntungan yang diperoleh dalam perang ini,” kata Museveni dalam ucapan kebangsaan yang dibacakan oleh timbalannya, Jessica Alupo.
“Oleh itu, saya merayu untuk bertenang dan memahami keadaan ini. Pekerja kesihatan kami akan terus melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan nyawa dan menamatkan wabak itu.”
Menurut kriteria WHO, wabak itu berakhir apabila tiada jangkitan baharu selama 42 hari berturut-turut – dua kali tempoh inkubasi Ebola.
Menteri Kesihatan, Jane Ruth Aceng memberitahu AFP minggu ini bahawa jumlah kes baharu yang didaftarkan semakin berkurangan dan terdapat tanda-tanda Uganda memenangi pertarungan itu.
Pejabat WHO Uganda baru-baru ini berkata bahawa setakat 22 November, tiada kes diisytiharkan selama sembilan hari di Kampala, 10 hari di Mubende dan 12 hari di Kassanda. – AFP