Ugut sebar gambar, penganggur dipenjara

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 APRIL – Seorang lelaki berusia 35 tahun yang didakwa memeras ugut untuk menyebarkan gambar tidak sopan seorang mangsa melalui laman sosial telah dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini, kelmarin.

Jefry bin Haji Ahmad yang tidak mempunyai pekerjaan didakwa di bawah Seksyen 383, Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 iaitu pemerasan. Suspek menjalankan hukuman di Penjara Maraburong.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, suspek ditahan susulan laporan yang diterima oleh Balai Polis Sungai Liang, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB).

Hasil siasatan lanjut, suspek melakukan kesalahan itu pada 14 April lalu selepas mengenali mangsa melalui laman sosial.

Suspek kemudian memeras ugut mangsa dengan meminta sejumlah wang dan jika ingkar, suspek akan menyebarkan gambar-gambar mangsa yang berkelakuan tidak sopan dalam media sosial.

Menurut suspek lagi, hasil wang yang diperolehi daripada mangsa telah pun digunakannya untuk bermain judi atas talian. Kenyataan menekankan, PDB memandang serius kejadian sebegini dan tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku membabitkan kegiatan jenayah dan akan menjalankan siasatan mengikut undang-undang yang diperuntukkan di negara ini.