Ugutan lipas bawa ke penjara, dua sebatan

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – Mahkamah Perantaraan, di sini, hari ini, telah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan dua sebatan terhadap seorang lelaki warga tempatan yang mengaku salah atas dakwaan pemerasan.

Mohammad Amirul Azem bin Ibrahim, 35, pertama kali memeras wang $100, mengugut seorang pekerja wanita berusia 26 tahun dengan mengatakan bahawa terdapat lipas dalam aiskrim dari kedai berkenaan dan akan menyebarkannya dalam media sosial pada 9:15 malam, 4 Jun di kawasan komersial Kiulap.

Pada 5 Jun, tertuduh sekali lagi menemui wanita sama di kedai berkenaan dan mengancam untuk mendedahkannya dengan mendakwa bahawa anak perempuannya terpaksa mendapatkan rawatan perubatan selepas makan aiskrim yang terdapat lipas di dalamnya dan memeras wang $150 daripada wanita berkenaan.

Pada 2:53 petang, 13 Jun, tertuduh sekali lagi pergi ke kedai berkenaan dan memberitahu seorang pekerja wanita lain berusia 22 tahun bahawa dia telah bercakap dengan majikannya yang mengarahkan untuk membayar $100 kepada tertuduh.

Pekerja berkenaan menghubungi majikannya dan menyerahkan telefon berkenaan kepada tertuduh.

Tertuduh tidak bercakap dengan majikan berkenaan kerana panggilan telah diputuskan.

Kemudian, tertuduh sekali lagi meminta bayaran dan mengancam pekerja berkenaan bahawa dia akan dipecat dan berjaya memeras wang $100 daripada mangsa.

Timbalan Pendakwa Raya Hajah Siti Mu’izzah binti Haji Sabli mendedahkan lanjut bahawa tertuduh telah menggunakan wang yang diperasnya untuk bermalam di sebuah hotel dan untuk berjudi.

Hakim Muhammed Faisal bin PDJLDR Kolonel (B) DSP Haji Kefli mengecam tindakan tertuduh dan mengingatkan orang awam supaya mengambil tindakan tegas terhadap aktiviti jenayah terutamanya kelakuan buli sedemikian.