Uji pandu, menang wang tunai

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 FEB – Pengedar tunggal kenderaan Mitsubishi dan Perodua di Brunei Darussalam, GHK Motors Sdn Bhd telah mengadakan acara cabutan bertuah bulanan kali pertama bagi Program Uji Pandu Mitsubishi & Perodua, pada hari ini, di Bilik Pameran GHK Motors, Beribi.

Cabutan kali pertama ini menyaksikan Awang Ismail bin Mohd Rusland membawa pulang wang tunai $300, Dileep Kurian memenangi $200 dan di tempat ketiga, Awang Asmali bin Haji Ibrahim menerima $100.

Hadiah kepada pemenang pertama dan kedua telah disampaikan oleh Pengarah GHK Motors, Jake Goh manakala itu, Pengurus Besar Bahagian Penjualan Mitsubishi dan Perodua, Au Thien Kiong menyampaikan hadiah kepada pemenang ketiga.

Promosi berkenaan menawarkan para pelanggan peluang untuk merasakan sendiri kecemerlangan pemanduan kenderaan jenama Mitsubishi dan Perodua.

Uji pandu bagi Mitsubishi meliputi model Xpander, ASX, Attrage, Outlander, L200, Pajero Sport dan Lancer Ex manakala antara model Perodua ialah Alza dan Bezza.

Para pelanggan yang ikut serta dalam uji pandu tersebut layak menyertai cabutan bertuah yang menawarkan hadiah wang tunai dengan tiga pemenang dipilih setiap bulan bermula awal Januari lalu hingga penghujung Jun depan.

Pelanggan juga berkelayakan untuk menerima baucar minyak bernilai $300 jika membeli kereta dalam masa 30 hari tarikh uji pandu mereka.

Cabutan bertuah bulanan kedua akan diadakan pada Mac depan bagi para pelanggan yang menyertai Program Uji Pandu Mitsubishi & Perodua bulan ini.

Jake Goh dan Au Thien Kiong bergambar ramai bersama para pemenang. – Gambar oleh Muiz Matdani