Uji pandu model BMW hingga Ahad ini

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JULAI – Orang ramai dialu-alukan untuk menjalani sesi uji pandu model-model terpilih BMW semasa acara One-derful Test-Drive Weekend bermula hari ini hingga Ahad.

Semasa sesi uji pandu anjuran QAF Auto selaku pengedar tunggal kenderaan jenama BMW di Brunei, pelanggan bukan sahaja dapat merasakan sendiri kehebatan kenderaan model BMW 1 Series atau BMW X1, malah berpeluang mendapat hadiah sagu hati daripada BMW.

Turut hadir pada sesi uji pandu QAF Auto, Beribi, pagi tadi ialah Pengurus Besar QAF Auto, Alisa Khoo.

Pada sesi berkenaan, Pengurus Pemasaran, Dayang Salwa Mustapa memberitahu para pengamal media yang hadir bahawa QAF Auto pada masa ini sedang menawarkan harga promosi bagi beberapa model BMW sempena Kempen Khas Pertengahan Tahun yang berlangsung sehingga penghujung Julai ini.

BMW turut menawarkan kadar faedah istimewa serendah 3.75 peratus bagi mana-mana pelanggan yang membeli model terpilih termasuk BMW X3, X1, 1 Series hingga 5 Series.

Apa yang lebih menarik lagi pada ketika ini, QAF Auto juga menawarkan beberapa tawaran hebat iaitu Onederful yang terhad bagi BMW 1 Series dan BMW X1 di mana BMW X1 akan didatangkan dengan BMW Repair Inclusive selama lima tahun atau 200,000km, BMW Service Inclusive selama lima tahun atau 80,000km, insurans percuma selama lima tahun dan BMW Roadside Assistance selama tiga tahun (termasuk Sabah dan Sarawak).

Sementara itu, BMW 1 Series pula termasuk BMW Repair Inclusive selama lima tahun atau 200,000km dan tiga tahun BMW Roadside Assistance (termasuk Sabah dan Sarawak).

QAF Auto juga mengumumkan kepada orang ramai terutama sekali pelanggan tetapnya, bahawa kerja-kerja pengubahsuaian Bilik Pameran BMW dengan konsep yang lebih canggih dan moden kini sedang dijalankan.

Orang ramai dialu-alukan untuk menjalani sesi uji pandu model-model BMW terpilh semasa acara One-derful Test Drive Weekend.