Uji produk, perkembang perkhidmatan fintech

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Dalam menggalakkan perkembangan sektor kewangan di Negara Brunei Darussalam, terutamanya dalam bidang teknologi kewangan, ataupun fintech, Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) menjemput syarikat-syarikat bagi menyertai AMBD Fintech Regulatory Sandbox.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, AMBD Fintech Regulatory Sandbox telah dilancarkan pada 27 Februari 2017 bagi memudah cara pembangunan fintech di Negara Brunei Darussalam.

Sandbox berkenaan memberikan syarikat-syarikat yang menawarkan produk fintech yang berkelayakan, untuk menguji produk dan perkhidmatan fintech mereka dalam persekitaran pengawalseliaan yang fleksibel, dalam tempoh masa dan parameter yang dipersetujui.

Kenyataan menyatakan, sejak pelancarannya, pihak AMBD telah meluluskan beberapa syarikat yang berkelayakan untuk menyertai Sandbox tersebut.

Jenis produk dan perkhidmatan fintech yang sesuai diuji melalui Sandbox ini ialah aktiviti-aktiviti perbankan, insurans atau takaful dan pasaran modal atau produk dan perkhidmatan kewangan inovatif di bawah bidang kuasa pengawalseliaan AMBD yang berpotensi untuk memberi manfaat kepada pengguna.

Syarikat-syarikat, perniagaan atau institusi kewangan yang berminat bolehlah melayari laman The FinTech Office, AMBD, www.ambd.gov.bn/fintech-office untuk memahami lagi proses dan keperluan untuk beroperasi dalam Sandbox.