Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Selagi ada masa, selagi kita masih muda, buat apa yang kita hendak buat selagi apa yang kita buat itu betul dan tidak mengganggu orang lain dan percayalah pada diri sendiri.
Itulah yang kata-kata semangat yang diberikan oleh penunggang basikal dari Selangor, Semenanjung Malaysia, Muhd Najman bin Faris Razali yang kini berada di Negara Brunei Darussalam bagi meneruskan pengembaraan Borneonya dari Kuching, Sarawak ke Sabah.
Muhd Najman, 20 tahun, telah berada di negara ini sejak 19 April lagi dan kelmarin pihak media berkesempatan menemuinya di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien sebelum beliau bertolak ke Muara untuk pergi ke Labuan menggunakan feri.
Menurut beliau, pengembaraannya di Borneo itu merupakan kesinambungan daripada pengembaraan beliau di Semenanjung Malaysia pada tiga tahun lepas.
“Oleh kerana ada masa yang terluang ini, saya mahu habiskan pengembaraan saya ke kawasan Borneo iaitu Sabah, Sarawak dan termasuk Brunei.
“Negara Brunei Darussalam adalah merupakan negara Asia yang pertama saya masuki,” jelas Muhd Najman.
Beliau telah mula berbasikal dari Kuching pada 4 April yang lalu dan menuju ke Sibu, Bintulu, Miri bagi meneroka lebih jauh kawasan berkenaan sebelum merentasi dan singgah di Brunei untuk pergi ke Sabah.
Muhd Najman menggunakan masa lapangnya untuk mengembara di Borneo termasuk Brunei sejurus selepas selesai menghabiskan pelajarannya di Institut Kemahiran Belia Negara Kuala Langat, sementara menunggu konvokesyen.

Beliau menjelaskan bahawa pengembaraan di Pulau Borneo ini adalah atas tanggungannya sendiri dan ada bantuan-bantuan lain.
“Cuma ada kawan-kawan terdekat, terutama sekali komuniti-komuniti ‘cyclist’ yang telah banyak membantu saya dari segi logistik, wang ringgit dan apa-apa sahaja yang dihulurkan.”
Di Brunei, tambahnya, kedai basikal Awang Tum Tum Cycles, di Jerudong yang menjadi pemandu beliau.
Ketika keberadaannya di sini, Muhd Najman juga terlibat de-ngan aktiviti yang dijalankan oleh kedai basikal berkenaan, termasuk menolong menganjurkan acara ‘Brunei MTB Challenge’ di Lugu.
Selain itu, beliau juga terlibat dengan aktiviti-aktiviti lain ketika pengembaraan beliau sebelum sampai ke Brunei.
“Saya ada ikut perlawanan bola sepak antara Kuching menentang Kedah di Sarawak.”
Beliau juga mengongsikan pengalamannya sewaktu pengembaraan di Borneo.
“Di Borneo ini, dari segi jalan tiada masalah, cuma permainan emosi yang mengganggu saya, menjejaskan sedikit. Permainan emosi yang dimaksudkan adalah seperti rindu terhadap keluarga dan kadang-kadang terasa nak menangis.”
Menyentuh mengenai latihan sebelum memulakan pengembaraan di Borneo, beliau berkata, tidak banyak yang dilakukan memandangkan beliau memang merupakan seorang pengayuh basikal ‘mountain bike’ sebelum pengembaraannya lagi.
“Oleh yang demikian, saya cuma perlu menyediakan barang-barang yang diperlukan dan berguna sahaja untuk di-bawa ketika mengembara.”
Muhd Najman juga telah mengongsikan bagaimana beliau dapat mengawal ketahanan minda.
“Kadang-kadang saya kawal dia dengan lagu, kadang-kadang saya tengok kiri kanan fauna, tetapi kalau sudah tak dapat, saya akan duduk saja.
“Selain itu, dari segi keselamatan, bila malam saya tidak akan berkayuh, tapi saya memang ada sedia lampu depan belakang dan terutama sekali helmet, kasut khas dan baju hujan,” tambahnya.