Ujian akhir vaksin COVID-19 diluluskan

RIO DE JANEIRO, 19 OGOS – Pengawal selia kesihatan Brazil mengatakan bahawa mereka telah meluluskan eksperimen vaksin Johnson & Johnson bagi wabak COVID-19 untuk peringkat akhir ujian klinikal, vaksin keempat yang menerima ujian meluas di negara yang dilanda masalah itu.

Anak syarikat farmasi Amerika Syarikat (AS) Janssen akan menguji vaksin itu kepada 7,000 sukarelawan di tujuh negeri di Brazil, yang merupakan sebahagian daripada 60,000 orang di seluruh dunia, kata pengawal selia kesihatan Anvisa dalam satu kenyataan.

Ia mengatakan ujian itu akan menjadi percubaan fasa ketiga secara rawak, terkawal atau ujian berskala besar pada manusia, peringkat terakhir sebelum mendapat persetujuan.

“Satu lagi kajian vaksin telah dipersetujui di Brazil, yang merupakan perkembangan yang sangat penting,” kata pegawai Anvisa Gustavo Mendes dalam sebuah video di laman web.
Brazil telah menjadi tempat ujian utama dalam mencari vaksin terhadap COVID-19, berikutan virus berkenaan masih merebak dengan cepat di negara itu. Negara di Amerika Selatan mempunyai jumlah jangkitan dan kematian kedua tertinggi wabak tersebut selepas AS, masing-masing hampir 3.5 juta jangkitan dan 110,000 kematian.

Brazil juga telah meluluskan tiga percubaan tahap ketiga mengenai calon vaksin, yang dikembangkan oleh Universiti Oxford dengan kerjasama firma farmasi AstraZeneca, firma farmasi China Sinovac Biotech, dan firma AS Pfizer bekerjasama dengan BioNTech Jerman.

Parana, bandar di Brazil juga menandatangani perjanjian minggu lalu untuk menguji dan menghasilkan vaksin Sputnik V dari Rusia, yang kontroversi menjadi vaksin pertama di dunia yang mendapat persetujuan lampu hijau. – AFP

Seorang pakar perubatan Gabriela Huyke semasa pemeriksaan perubatan kajian vaksin COVID-19 di Pusat Penyelidikan Amerika (RCA) di Hollywood, Florida. Brazil telah meluluskan eksperimen vaksin Johnson & Johnson terhadap wabak COVID-19 untuk peringkat akhir ujian klinikal. – AFP