Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Ujian art norma baharu persekolahan

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JAN – Hari ini merupakan saat yang dinanti-nantikan oleh sebahagian pelajar terutama pelajar Tahun 10 hingga Tahun 13 yang memulakan sesi persekolahan mereka secara fizikal di peringkat pertama Fasa Endemik.

    Namun berbeza daripada pembukaan semula sekolah semasa gelombang pertama, sesi pembelajaran secara bersemuka pada kali ini, para pelajar diarahkan untuk menjalani ujian antigen rapid test (ART) di dewan sekolah masing-masing, seperti yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan.

    Sementara itu, bagi pelajar Tahun 7 hingga Tahun 9, mereka dijangka akan memulakan pada peringkat kedua Fasa Endemik iaitu pada 17 Januari nanti.

    Sesi pembelajaran terpaksa dilakukan secara atas talian pada Ogos 2021 akibat gelombang kedua COVID-19, dan kini pelajar-pelajar kembali menghadiri sesi pembelajaran lima kali dalam seminggu.

    Media Permata berpeluang membuat tinjauan serta menyaksikan proses pelaksanaan bagi pelajar-pelajar yang hadir ke sekolah bagi memulakan sesi pembelajaran dan pengajaran secara fizikal, hari ini.

    Salah seorang pelajar Sekolah Menengah Menglait menjalani ujian saringan ART kendiri di dewan sekolah berkenaan, kelmarin.
    Pelajar sedang mengikuti sesi pembelajaran di salah sebuah kelas Sekolah Menengah Menglait.
    Para pelajar Sekolah Menengah Menglait sedang menjalani ujian ART sebelum memulakan sesi pembelajaran kelmarin.

    Dalam tinjauan ke Sekolah Menengah Menglait, didapati pelajar-pelajar apabila tiba di sekolah perlu menunjukkan kod BruHealth masing-masing, mengimbas kod QR serta melakukan pemeriksaan suhu badan sebelum mereka diarahkan untuk ke dewan sekolah bagi menjalankan ujian ART.

    Setelah para pelajar melaksanakan ujian ART dan keputusan ujian menunjukkan negatif, mereka akan memasukkan kertas hasil pemeriksaan di dalam kotak mengikut kelas masing-masing sebelum bergerak ke bilik kelas masing-masing bagi memulakan sesi pembelajaran.

    Dalam temu bual ringkas bersama Pengetua Sekolah Menengah Menglait, Awang Huzaimi bin Moksin berkata bahawa sekolah pada hari pertama sesi persekolahan 2022 mengalu-alukan kehadiran kira-kira 275 orang pelajar Tahun 10 dan Tahun 11 untuk memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran secara fizikal.

    Para pelajar pada hari pertama, seperti arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, ulasnya, perlu menjalani ujian ART bagi mereka yang hadir pada hari pertama sesi pembelajaran bagi tahun akademik 2022.

    Beliau menyatakan bahawa 275 orang pelajar Tahun 10 dan Tahun 11 yang hadir secara purata membentuk 35.4 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar sekolah berkenaan yang memulakan pembelajaran iaitu di bawah had 40 peratus yang ditetapkan oleh pihak kementerian.

    “Pada hari pertama ini, segala surat pemberitahuan dan maklumat telah dimaklumkan kepada para ibu bapa termasuk perjalanan pelajar selepas mereka diturunkan di hadapan sekolah, beratur menuju ke dewan sekolah untuk menjalani ujian ART sebelum dibawa oleh guru-guru yang telah ditugaskan ke bilik kelas masing-masing,” jelas Awang Huzaimi.

    Mengulas mengenai persiapan yang dibuat oleh pihak sekolah sebelum bermulanya sesi persekolahan tahun akademik 2022, Awang Huzaimi menerangkan bahawa pada minggu terakhir Disember lalu, sesi perjumpaan telah diadakan bersama semua guru bagi membincangkan mengenai persiapan sesi persekolahan.

    Di samping itu, persiapan awal memang telah dibuat, yang menjurus kepada pematuhan semua prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Pendidikan.

    Beliau menyatakan bahawa semua guru di sekolah berkenaan telah maklum mengenai dengan ketetapan yang telah digariskan oleh pihak kementerian mengenai hari pertama persekolahan dan juga semua ibu bapa dan penjaga para pelajar telah dimaklumkan tentang apa yang perlu dilakukan mereka serta anak-anak mereka pada hari pertama persekolahan.

     

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...