Ujian baharu kesan kanser

SYDNEY, 5 Dis – Penyelidik Australia hari ini menyatakan mereka telah menghasilkan satu ujian yang cepat dan mudah untuk mengesan kanser berbanding ujian atau biopsi tisu, merujuk kepada pendekatan baharu diagnosis pesakit menerusi peranti biasa seperti telefon bimbit.

Kumpulan Universiti Queensland “menemui satu nanostruktur DNA yang unik yang nampaknya sama dengan semua kanser,” menurut satu kenyataan.

“DNA nano yang unik ini muncul dalam setiap jenis kanser payu dara yang kami periksa, dan dalam bentuk kanser lain termasuk prostat, usus besar dan limfoma,” kata penyelidik Dr Abu Sina.

“Jumlah dan corak molekul kecil dipanggil kumpulan metal yang membentuk DNA diubah mendadak oleh kanser – kumpulan metil ini adalah kunci kepada sel untuk mengawal gen.”

Ujian baharu membabitkan satu alat yang berupaya membantu menganalisis perubahan corak pada seluruh peringkat genom dalam masa beberapa minit, menurut penyelidik.

Teknologi itu terbukti 90 peratus tepat dalam ujian yang melibatkan 200 sampel kanser manusia dan DNA biasa, menurut penyelidik. Kajian mereka disiarkan dalam jurnal saintifik Nature Communications.

Hasil dapatan bermakna, peranti pengesan yang tidak mahal dan mudah alih boleh digunakan sebagai alat diagnosis, berkemungkinan dengan menggunakan telefon bimbit, kata Profesor Matt Trau.

“Kami pastinya tidak tahu lagi sama ada ia merupakan diagnosis kanser yang dicari, tetapi ia benar-benar menarik sebagai satu penanda kanser sejagat yang amat mudah, dan sebagai satu teknologi yang tidak mahal dan tidak memerlukan peralatan dalam makmal yang rumit seperti urutan DNA,” kata beliau. – Xinhua