LIVERPOOl, 10 Feb – Selepas permulaan teruk dalam 2017, Liverpool dalam keadaan menyedihkan menjelang kunjungan Tottenham Hotspur Ahad ini bagi aksi Liga Perdana.
Mereka hanya menang sekali dalam 10 perlawanan terakhir, disingkirkan dalam dua persaingan piala domestik dalam tempoh empat hari dan tergelincir keluar dari empat pasukan teratas selepas tewas 2-0 kepada Hull City minggu lepas.
Pasukan Jurgen Klopp yang berada di puncak liga buat seketika pada bulan November lalu, namun kini mendapati diri mereka 13 mata di belakang pendahulu, Chelsea dan empat mata di belakang pasukan di tangga kedua, Spurs.
“Jika anda tidak mengutip banyak mata, jika anda tewas banyak perlawanan dan jika anda tidak bermain seperti yang dilakukan sebelum ini, saya rasa anda pasti akan kehilangan sedikit keyakinan,” kata pemain tengah, Georginio Wijnaldum.
“Tetapi kini kami perlu memastikan kembali dalam laluan, bermain seperti yang kami lakukan sebelum ini dan mendapatkan lebih banyak keyakinan serta mula memenangi perlawanan.”

Apa yang membimbang Klopp adalah keputusan di laman sendiri Liverpool sejak rekod tanpa kalah di Anfield selama hampir 12 bulan berakhir ketika menentang Swansea City pada 21 Januari.
Mereka kemudian ditewaskan di kubu sendiri oleh Southampton dalam separuh akhir Piala Liga dan, kekalahan memalukan kepada pasukan Championship, Wolverhampton Wanderers dalam Piala FA.
Chelsea nyaris menjadikannya empat kekalahan berturut-turut bagi pasukan Klopp pada 31 Januari, tetapi penjaga gol, Simon Mignolet berjaya menyelamatkan sepakan penalti Diego Costa bagi memastikan perlawanan berkesudahan 1-1.
Meskipun prestasi hambar pasukannya kebelakangan ini, Klopp tidak membuat sebarang pembelian pemain dalam jendela perpindahan Januari.
Hakikatnya Klopp memiliki barisan pemain yang kuat, dan akan berharap dapat menurunkan kesemuanya ketika menentang Spurs.
Dejan Lovren terlepas ketika kekalahan di Hull kerana kecederaan lutut dan rakan pemain pertahanan tengah, Ragnar Klavan juga tidak beraksi kerana demam, bermakna pemain tengah Lucas Leiva telah digandingan bersama Joel Matip buat sementara waktu ketika itu.
Sadio Mane seharusnya bermula di bahagian serangan buat kali kedua berturut-turut selepas sekembalinya daripada tugas bersama skuad Senegal. – AFP