Ujian buat Spurs bertemu City

LONDON, 20 NOV – Tottenham menghadapi ujian sebenar dalam persaingan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila berdepan Manchester City esok selepas kembali dari perlawanan antarabangsa.

Spurs berada satu mata di belakang pendahulu liga Leicester, tetapi hanya tiga mata memisahkan dari pasukan enam teratas, dengan Chelsea dan Aston Villa yang akan bertemu untuk menentang Newcastle dan Brighton turut berpeluang untuk melonjak ke tangga teratas sekurang-kurangnya untuk beberapa jam.

Dengan perlawanan antarabangsa untuk tahun ini sudah selesai, jadual padat musim sejuk menanti kelab-kelab tersebut yang perlu mengharungi sembilan perlawanan liga sebelum 2 Januari depan.

Juara bertahan Liverpool adalah antara pasukan yang bergelut dengan jadual padat apabila skuad kendalian Jurgen Klopp itu dibelenggu kecederaan menjelang kunjungan Leicester ke Anfield.

Tottenham berada di puncak liga untuk beberapa jam buat kali pertama dalam tempoh tiga tahun sebelum Leicester menewaskan Wolves.

Reaksi jurulatih Tottenham Hotspurs, Jose Mourinho semasa perlawanan yang lalu apabila memberi arahan kepada pemainnya. Spurs akan berdepan ujian sebenar apabila berdepan Manchester City esok. – AP

Jurulatih Spurs, Jose Mourinho belum tewas dalam tujuh perlawanan liga, dengan gandingan Harry Kane dan Son Heung-min diharapkan mampu merangkul gelaran liga buat pertama kali dalam tempoh 60 tahun.

Bagaimanapun, kemampuan Spurs sebagai calon juara bakal diuji apabila berdepan City, Chelsea, Arsenal, Liverpool dan Leicester dalam perlawanan seterusnya.

City mengalami kemerosotan di kedudukan ke-10, enam mata ketinggalan dari tempat teratas dengan berbaki satu perlawanan.

Mengutip 12 mata dari tujuh perlawanan pembukaan musim ini adalah yang paling rendah sejak Pep Guardiola tiba di Manchester lima tahun lalu.

Namun, setelah permulaan yang sukar disebabkan kekurangan pra-musim, kecederaan, kes COVID-19 dan perlawanan sukar, kunjungan ke Tottenham juga akan menjadi petunjuk sama ada City mampu mengubah nasib mereka. – AFP