Ujian di setiap daerah bermula hari ini

Oleh Syahmi Hassan & Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MEI – Pemantauan jangkitan COVID-19 Kementerian Kesihatan menerusi kaji selidik yang akan diperluaskan dalam kalangan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam di seluruh daerah bermula esok, seperti yang dijelaskan kelmarin (Sabtu) semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, bukanlah seperti ujian swab nasal, namun jenis ujian POCT seperti yang
digunakan untuk memeriksa gula dalam darah.

“Tujuannya adalah untuk pemeriksaan sahaja, jika ada antibodi virus ini dalam masyarakat,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada sesi soal jawab Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Beliau menjelaskan lanjut bahawa kaji selidik berkenaan melibatkan pengambilan contoh darah, serupa seperti pesakit membuat ujian gula dalam darah di rumah dan keputusannya akan diketahui dalam masa 15 minit.

Yang Berhormat Dato menjelaskan kaji selidik yang akan dikendalikan selama seminggu itu dijalankan di beberapa tempat pusat kesihatan (tidak semua) dan bilangannya juga sudah ditentukan di setiap pusat kesihatan.

“Setiap daerah ada ditentukan sudah klinik yang mana satu dan dari sana, ia akan dibuat secara rambang, pegawai di sana akan menentukan tiap-tiap tiga orang atau sebagainya yang akan diuji.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham semasa Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Kementerian Kesihatan.

“Namun kanak-kanak tidak termasuk diuji, hanya mereka yang dewasa,” tambah Yang Berhormat Menteri Kesihatan lagi.

Beliau kelmarin turut menerangkan bahawa jika seseorang menunjukkan keputusan positif bagi antibodi untuk virus SARS-CoV-2 selepas kaji selidik tersebut, ia bermakna individu itu telah terdedah kepada virus itu tanpa pengetahuannya.

Ia juga menunjukkan bahawa terdapat penularan komuniti dan dalam hubungan itu, pihak kementerian perlu melaksanakan strategi yang berbeza mengenai bagaimana untuk menguruskannya.

Beliau juga menerangkan bahawa ujian akan dibuat secara rambang di mana pegawai yang bertugas di pusat kesihatan yang terlibat akan menentukan mereka yang akan menjalani ujian semasa kaji selidik itu.

Yang Berhormat Dato juga menasihatkan orang awam yang merasakan diri mereka berisiko tinggi dijangkiti, boleh tampil secara sukarela ke hadapan sekiranya mereka mahu diuji sebagai langkah pemantauan pihak kementerian.