Ujian getir United

LONDON, 14 Dis – Jose Mourinho berdepan situasi sukar apabila dia akan membawa Manchester United untuk berkunjung ke Anfield bagi menentang pendahulu Liga Perdana, Liverpool sementara Manchester City akan membuktikan semula bahawa tewas kepada Chelsea minggu lalu hanya satu kesilapan kecil.

United mempunyai rekod yang menakjubkan apabila menentang Liverpool, mencatat rekod tanpa kalah dalam lapan perlawanan liga di tempat lawan tetapi penyokong United akan berkunjung ke Anfield dengan rasa gentar.

Sementara itu, pasukan kendalian Unai Emery, Arsenal kini melalui 21 perlawanan tanpa kalah dalam semua kejohanan, akan berdepan Southampton manakala Chelsea akan menentang Brighton.

Manchester City akan menerima kunjungan Everton sementara Tottenham akan berdepan Burnley di Wembley.

AFP Sports melihat beberapa perkara penting menjelang aksi Liga Perdana hujung minggu ini.

Pogba bersama rakan sepasukan menjalani sesi latihan di Kompleks Latihan AON menjelang perlawanan menentang Valencia tempoh hari. Jose Mourinho akan membawa Manchester United berkunjung ke Anfield untuk menentang Liverpool hujung minggu ini. – AP

Adakah Mourinho akan menjejaskan rekod tanpa kalah Liverpool?

Tahun lalu, Jose Mourinho berdepan tekanan selepas gagal untuk melancarkan serangan ke atas barisan pertahanan Liverpool yang sebelum ini goyah dan hanya meraih keputusan seri sekali gus memberi impak kepada momentum kelab selepas melalui permulaan musim yang mantap.

Biasanya, keputusan seri di Anfield adalah satu keputusan yang bagus tetapi jika United tewas pada Ahad ini akan menyebabkan United ketinggalan 11 mata daripada kedudukan empat teratas.

United berjaya menjaringkan empat gol ketika menentang Fulham minggu lalu tetapi aksi serangan United dilihat kurang berkesan musim ini dan mereka bakal berdepan barisan pertahanan yang hanya bolos satu gol di tempat sendiri pada musim ini.

Berdasarkan statistik, Roberto Firmino, Mohamed Salah dan Sadio Mane akan memburu gol pertama atau assist dalam aksi menentang United nanti. – AFP