OTTAWA, ONTARIO, 2 JUN – Meta menyekat sementara beberapa pengguna Kanada daripada mengakses kandungan berita di Facebook dan Instagram sebagai sebahagian daripada ujian sementara yang dijangka berlangsung hingga akhir Jun, kata gergasi teknologi itu, kelmarin.
Sekatan itu yang mengikuti langkah serupa yang diambil oleh Google awal tahun ini sebagai tindak balas kepada rancangan undang-undang yang akan memerlukan gergasi teknologi membayar penerbit untuk memaut ke atau sebaliknya menggunakan semula kandungan mereka dalam talian. Rancangan Undang-Undang C-18, Akta Berita Dalam Talian, sedang dipertimbangkan di Dewan Negara dan boleh diluluskan seawal bulan ini.
Meta juga berkata ia bersedia untuk menyekat kandungan berita secara kekal di Facebook dan Instagram untuk warga Kanada jika rancangan undang-undang itu diluluskan.
Menteri Warisan Kanada, Pablo Rodriguez menyifatkan tindakan Meta itu mengecewakan dan berkata rakyat Kanada tidak akan gentar dengan taktik ini.
Blok sementara yang diumumkan kelmarin akan menjejaskan satu hingga lima peratus daripada 24 juta pengguna Kanada, dengan bilangan mereka yang terjejas berubah-ubah sepanjang ujian, kata Ketua Dasar Awam untuk Meta Kanada, Rachel Curran.
Pengguna Kanada yang dipilih secara rawak tidak akan dapat melihat atau berkongsi kandungan berita di Kanada sama ada di Instagram atau Facebook.
Sekatan itu boleh termasuk pautan berita ke artikel, reels yang merupakan video bentuk pendek atau stories, yang merupakan foto dan video yang hilang selepas 24 jam.
Syarikat berita antarabangsa termasuk New York Times atau BBC juga boleh menyekat kandungan mereka di Kanada semasa ujian jika mereka dipilih secara rawak. – AP
