Ujian PCR, ART perlu dibuat sebelum kembali ke Brunei

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 DIS – Apabila negara memasuki Fasa Endemik nanti, rakyat dan penduduk negara yang akan melakukan perjalanan dari luar negara perlu melakukan ujian PCR atau ART sebelum ke Brunei.

Mereka diminta untuk membuat ujian PCR 48 jam atau ujian ART 24 jam sebelum bertolak dari negara asal dan hendaklah mendapat keputusan negatif dalam ujian tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menjelaskan perkara itu semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini dan menambah, sebaik saja mereka tiba ke negara ini, ujian PCR juga akan dibuat semasa berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Sementara menanti keputusan ujian PCR tersebut, mereka dibolehkan untuk menjalani pengasingan diri di kediaman mereka mengikut kesesuaian tempat mereka sehingga keputusan ujian PCR keluar.

Mereka juga boleh membuat pengasingan diri di hotel-hotel yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan.

“Tapi jika sebaliknya, mereka tidak menjalankan ujian PCR atau ART sebelum bertolak dari negara asal, mereka dikehendaki membuat pengasingan diri di hotel yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan sementara menanti keputusan PCR mereka,” jelas beliau lagi.