Ujian rasmi musim sejuk SIC dibatalkan

KUALA LUMPUR, 13 JAN –  Ujian rasmi musim sejuk Kejohanan Dunia MotoGP 2021 yang sepatutnya berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 19 Februari hingga 21 Februari depan dibatalkan kerana keadaan pandemik

COVID-19 yang masih belum reda di Malaysia.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Dorna Sports malam ini, keputusan itu dibuat selepas mendapatkan nasihat Persatuan Pasukan Perlumbaan Jalan Raya Antarabangsa (IRTA) dan  Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM).

Dorna Sports ialah pemegang hak eksklusif televisyen dan komersial MotoGP.

Kenyataan itu juga mendedahkan ujian percubaan yang akan berlangsung dari 10 hingga 12 Mac di SIC juga dibatalkan atas faktor yang sama.

Kedua-dua ujian itu dibatalkan berikutan kenyataan terkini oleh kerajaan untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri bermula dari 13 sehingga 26 Januari ini untuk mengekang penularan COVID-19. – Bernama