Ujian rawak COVID-19 di tapak pembinaan S’wak minggu depan

KUCHING, 28 JUN – Sarawak akan melakukan ujian saringan jangkitan COVID-19 secara rawak di tapak pembinaan di kawasan bandar seluruh negeri ini mulai minggu depan, kata Timbalan Ketua Menterinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata saringan itu dibuat berikutan kemunculan kes positif COVID-19 membabitkan dua pekerja warga Indonesia dan seorang rakyat tempatan yang juga penyelia mereka di sebuah tapak pembinaan di sini ini baru-baru ini.

“Kami juga akan memutuskan sama ada polisi membabitkan pekerja tapak pembinaan di Sarawak (yang diterima pakai) sekarang perlu dinilai semula berdasarkan hasil ujian ini nanti,” katanya selepas bersama-sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian meninjau pelaksanaan COVIDTrace di sebuah kompleks membeli-belah di sini.

Katanya jika ada kes pekerja positif dijangkiti COVID-19 melalui ujian rawak itu, tapak pembinaan tempat mereka bekerja akan terus ditutup sementara, bagi memboleh-kan keadaan pekerja yang lain dan juga penduduk berhampiran tapak terbabit diperiksa. – Bernama