Friday, March 24, 2023
28 C
Brunei

-

Ujian RT-PCR secara rambang untuk langkah pengawasan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JUN – Pesakit-pesakit yang berkunjung ke klinik flu terutama mereka yang mengalami influenza-like illness (ILI) akan dipelawa secara rambang untuk menjalani ujian makmal RT-PCR.

Ujian RT-PCR secara rambang itu adalah sebahagian daripada langkah pemantauan dan pengawasan berterusan terhadap jangkitan-jangkitan pernafasan termasuk COVID yang berlaku di negara ini.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengongsikan perkara itu pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

“Di samping itu, kes-kes positif COVID melalui ujian ART yang dilaporkan melalui aplikasi BruHealth juga akan dihubungi secara rambang oleh Kementerian Kesihatan untuk menjalani ujian makmal RT-PCR,” kata Yang Berhormat Dato.

Langkah tersebut, menurut Yang Berhormat Menteri Kesihatan, akan membolehkan Kementerian Kesihatan mendapatkan maklumat mengenai jenis penularan jangkitan yang berlaku.

“Jika virus yang dikesan ialah virus SARS-CoV-2, ujian penjujukan genom juga akan dilakukan bagi mengenal pasti varian yang ada di negara ini,” jelas beliau.

Yang Berhormat Dato juga mengalu-alukan orang ramai yang dipelawa untuk menjalani ujian swab bagi tujuan pengawasan itu untuk memberikan kerjasama bagi membolehkan pihak Kementerian Kesihatan terus menjalankan aktiviti pemantauan yang berkualiti bagi keselamatan dan kesejahteraan bersama rakyat dan penduduk di negara ini.

 

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Korea S, Jepun tingkat kerjasama

TOKYO, 23 MAC - Jepun dan Korea Selatan hampir serentak menarik tuntutan eksport mereka terhadap satu sama lain sebagai tanda terbaharu hubungan yang bertambah...
- Advertisment -