Ujian saringan besar-besaran di Hong Kong

HONG KONG, 1 SEPT – Hong Kong mula melaksanakan ujian saringan COVID-19 secara besar-besaran, hari ini, di bawah skim kesihatan yang menjadi tumpuan perbahasan politik yang hangat.

Ujian saringan secara sukarela itu ialah antara usaha untuk menangani gelombang ketiga wabak yang bermula akhir Jun lalu sehingga bandar berpenduduk padat ini terpaksa menguatkuasakan semula langkah penjarakan sosial yang memeritkan ekonomi.

Bagaimanapun, program itu menerima maklum balas terhad berikutan pembabitan firma ujian dan doktor dari China, serta kebimbangan awam terhadap pengambilan data serta DNA susulan langkah Beijing mengekang gerakan demokrasi di bandar ini.

Sejak pendaftaran dibuka pada Sabtu lalu, seramai 510,000 orang mendaftar untuk menjalani ujian saringan secara percuma itu, iaitu kira-kira tujuh peratus daripada keseluruhan 7.5 juta populasi Hong Kong.

Begitupun, lebih separuh daripada keseluruhan 141 pusat ujian komuniti di seluruh bandar ini mencatatkan temu janji penuh pada hari pertama.

Namun, pakar kesihatan yang menasihati kerajaan, memaklumkan bahawa seramai lima juta penduduk mungkin perlu disaring melalui skim itu bagi mengesan secara komprehensif jangkitan tersembunyi, sekali gus menghentikan gelombang penularan ketika ini.

Hong Kong merekodkan lebih 4,800 jangkitan selepas dilanda virus itu pada akhir Januari lalu, namun kira-kira 75 peratus daripada kes berkenaan dikesan sejak awal Julai.

Ujian saringan bermula jam 8 pagi tadi dan akan dilaksanakan antara satu hingga dua minggu bergantung pada permintaan awam, dengan bilangannya terhad setiap hari bagi mengurangkan risiko jangkitan.

Pihak berkuasa memaklumkan, skim itu adalah inisiatif kesihatan awam yang baik dan dijayakan dengan bantuan China. – AFP

Gambar fail menunjukkan puluhan pejalan kaki dilihat menggunakan penutup mulut dan hidung bagi mengekang penularan virus di kawasan sibuk di Hong Kong. – AFP