Ujian saringan besar-besaran di Shanghai

BEIJING, 23 NOV – Kakitangan di lapa-ngan terbang antarabangsa terbesar di Shanghai hari ini menjalani ujian saringan COVID-19 besar-besaran selepas satu penularan kecil berlaku di bandar itu, dikaitkan ke atas beberapa orang pengendali kargo, manakala rancangan untuk memvaksin pekerja berisiko tinggi dipertimbangkan.

Kehidupan di China – selepas virus pertama kali muncul hujung tahun lalu – sebahagian besarnya sudah kembali kepada normal susulan ujian tegas dan perintah berkurung, namun terdapat beberapa siri penularan komuniti sekali-sekala dalam masa beberapa bulan kebelakangan.

Shanghai melaporkan enam jangkitan tempatan berkaitan dengan lapangan terbang bulan ini, dengan kebanyakan kes dalam tempoh beberapa hari lalu.

Dalam masa semalaman, pekerja dalam pakaian perlindungan lengkap mengiringi kakitangan Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong ke dalam kawasan letak kereta bertingkat bagi ujian virus, dengan video dimuat naik online oleh pihak berkuasa kesihatan Shanghai menunjukkan ramai memenuhi kemudahan itu.

Lebih daripada 17,700 orang sudah pun menjalani ujian swab pagi ini dalam kempen ujian kakitangan kargo lapangan terbang, agensi berita rasmi Xinhua melaporkan, dan keputusan negatif ke atas lebih 11,500 orang setakat ini.

Pekerja kargo barisan hadapan akan sering menjalani ujian saringan pada masa akan datang dan mereka yang dalam pekerjaan berisiko tinggi juga akan diberikan vaksin bagi COVID-19, tambah Xinhua, memetik pihak berkuasa Lapangan Terbang Antarabangsa Shanghai, timbalan presiden Zhou Junlong yang mengatakan proses itu adalah secara sukarela.

China sudah pun memberikan vaksin eksperimental COVID-19 kepada orang ramai termasuklah warga perkhidmatan awam, pelajar antarabangsa dan pekerja penting yang keluar negara semenjak Julai. – AFP

Kakitangan keselamatan dalam sut perlindungan bersedia untuk membuat ujian saringan COVID-19 terhadap para pekerja di sebuah kawasan letak kereta di Lapangan Terbang Antarabangsa Shanghai, 23 November. – AP