Ujian serologi di masjid terpilih

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan Masjid Sultan Sharif Ali Sengkurong

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JUN – Ujian serologi terus dijalankan di beberapa buah masjid terpilih di Negara Brunei Darussalam, hari ini, dalam memperluaskan pemantauan di peringkat komuniti.

Ujian adalah berbentuk pemeriksaan darah dalam kadar yang sedikit sama seperti pemeriksaan kadar gula dalam darah, ini adalah untuk mengetahui jika kalangan masyarakat mempunyai antibodi atau tidak untuk virus SARS-CoV-2.

Salah seorang imam masjid yang ditemui, Haji Mohd Zaidin berpendapat, perkara berkenaan sangat bagus dibuat dan beliau berharap ia dapat dilaratkan ke masjid-masjid lain di negara ini, sekurangnya masjid-masjid yang mempunyai ramai jemaah.

Beliau juga berterima kasih kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kesihatan kerana mengambil inisiatif untuk membuat ujian berkenaan daripada menunggu mereka melakukan ujian di tempat yang telah dikhaskan.

Salah seorang jemaah, Haji Mohidin pula berkata, “Apabila kita perhatikan dengan keadaan pandemik COVID-19 yang telah berjaya dibendung di Negara Brunei Darussalam pada masa ini, tidaklah semestinya kita selaku rakyat dan penduduk merasa terlalu bebas dan leka sehinggakan terlepas pandang dalam mematuhi segala tatacara dan pra syarat yang telah digaris pandukan oleh pihak Kementerian Kesihatan mengenai penjarakan sosial, pengasingan diri atas inisiatif sendiri jika dalam keadaan kurang sihat atau demam, mendaftar bagi BruHealth dan pengimbasan kod QR di setiap premis yang mengguna pakai tatacara tersebut.

Kita amat menghargai segala usaha berterusan dan beretika yang telah diambil oleh semua kementerian kerajaan di negara ini, khususnya pihak Kementerian Kesihatan,” ujarnya.
Pengambilan sampel bagi pemantauan tambahan berkenan adalah salah satu alternatif awal dalam mengesan dan mengawal penularan virus tersebut.

Para petugas kesihatan ditempatkan di beberapa buah masjid terpilih di Negara Brunei Darussalam.