MADRID, 16 Feb – Sebelum pertembungan genting menentang Chelsea di London, Lionel Messi dan Barcelona mempertaruhkan rekod tanpa kalah mereka menentang Eibar di Ipurua hujung minggu ini.
Ipurua, hanya berkapasiti 7,000 tempat duduk, mengalu-alukan skuad Barca, yang bergelut dengan keputusan seri menentang Espanyol dan Getafe baru-baru ini.
Keputusan-keputusan itu membolehkan Atletico Madrid mengurangkan pendahuluan skuad kendalian Ernesto Valverde di puncak liga kepada tujuh mata, dengan kedua-dua kelab dijangka bersemuka di Camp Nou awal bulan depan.
Kelebihan Barca adalah besar dan mereka tidak ada kebimbangan mengenai kecederaan serius ketika ini, namun bahayanya adalah kembali dalam saingan Liga Juara-Juara.
“Kami perlu menghadapinya dengan penuh waspada kerana satu keputusan buruk bermakna anda tiba-tiba mempunyai tahun yang buruk selepas tahun yang sangat baik,” kata Gerard Pique, yang lebih membincangkan Chelsea berbanding Eibar.
Namun Eibar hanya tewas sekali, kekalahan tipis 1-0 kepada Atletico, sejak Disember, dan menghampiri slot ke Eropah.
“Kami sudah bermain dengan baik dalam dua bulan kebelakangan ini dan mendapat beberapa keputusan baik, tetapi kami tahu apa yang kami bakal hadapi hujung minggu ini,” jurulatih Eibar, Jose Luis Mendilibar memberi amaran.
Atletico pula menghoskan Athletic Bilbao Ahad ini dan berharap Diego Costa kembali selepas penyerang itu diketepikan dalam kunjungan Liga Europa menentang Copenhagen.
Sementara itu Real Madrid, berkunjung ke Betis dengan harapan untuk meneruskan momentum kemenangan aksi Liga Juara-Juara ke atas Paris Saint-Germain.
Skuad Zinedine Zidane masih berada di tangga keempat di belakang Valencia, tetapi mereka telah memperoleh 10 mata daripada 12 mata tersedia dalam liga.
“Kami sudah melepasi peringkat sukar, tetapi dalam beberapa minggu ini kami telah mempertingkatkan permainan kami,” kata Toni Kroos kepada media Jerman selepas perlawanan PSG.
“Saya yakin bahawa kami akan mencapai banyak kejayaan nanti.”
Real kini ketinggalan 17 mata di belakang Barcelona, tetapi mereka mempunyai kelebihan satu perlawanan di Leganes pertengahan minggu depan. – AFP