KUALA LUMPUR, 28 MEI – Aksi Persahabatan Antarabangsa Tier 1 menentang pasukan ranking 98 dunia, Bahrain bakal menjadi ujian getir bagi skuad Harimau Malaya, namun itulah yang diperlukan mereka menjelang kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, kata Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Ong Kim Swee.
Beliau berkata perlawanan malam ini (12.30 tengah malam Sabtu waktu Malaysia) di Stadium Nasional Bahrain di Riffa, Manama, adalah penting bagi Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pasukan. Kim Swee berkata demikian kerana Bahrain berjaya berkongsi mata 1-1 menentang ranking 24 dunia, Ukraine dalam perlawanan persahabatan Ahad lalu manakala Malaysia tewas 4-1 kepada Kuwait pada hari yang sama.
Bekas jurulatih kebangsaan itu berpendapat aksi persahabatan menentang Bahrain juga akan membantu Cheng Hoe mengenal pasti 11 yang terbaik untuk baki tiga perlawanan Kumpulan G pada pusingan kedua kelayakan yang akan berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu. – Bernama