Wednesday, March 19, 2025
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ujian sukarela saringan kesihatan pra-nikah digalakkan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MAC – Buat masa ini, tiada rancangan untuk mewajibkan ujian HIV/STI dalam program kaunseling pra-nikah yang dijalankan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) serta disokong Kementerian Kesihatan, akan tetapi ujian sukarela adalah digalakkan bagi mereka yang berminat untuk mengetahui status kesihatan mereka.

    Pemeriksaan pra-nikah yang bersesuaian boleh dijalankan secara sukarela di pusat-pusat kesihatan atau klinik swasta sebagai langkah pencegahan dan memastikan kesejahteraan semua.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar mengongsikan perkara itu semasa menjawab pertanyaan Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat yang mengemukakan cadangan agar Kementerian Kesihatan memperkenalkan pemeriksaan kesihatan pra-perkahwinan secara mandatori.

    Yang Berhormat Dato turut menjelaskan pada Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) ke-21, hari ini bahawa Kementerian Kesihatan akan memastikan setiap dasar yang diperkenalkan adalah berdasarkan bukti saintifik serta memenuhi keperluan masyarakat dengan kerjasama pakar perubatan, pihak berkepentingan dan agensi yang berkaitan.

    Selain itu, beliau mengalu-alukan perbincangan yang membina mengenai perkara itu dan memastikan setiap keputusan yang diambil adalah berlandaskan penyelidikan yang kukuh yang mengutamakan kesihatan awam serta meningkatkan tahap kesihatan rakyat secara berkesan.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan menjawab pertanyaan Ahli MMN semasa Persidangan MMN ke-21 kelmarin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Yang Berhormat Dato turut mengongsikan peningkatan kes baharu HIV di negara ini berdasarkan data terkini adalah amat membimbangkan dan perlu diambil serius.

    Dalam tempoh lima tahun terakhir (2019-2023), majoriti kes baharu HIV iaitu 91-98 peratus terdiri daripada golongan lelaki dalam keseluruhan kes.

    “Sebahagian besar kes jangkitan terjadi dalam kalangan mereka yang mengamalkan hubungan seksual yang tidak selamat khususnya dalam kalangan lelaki yang mempunyai hubungan kelamin sesama lelaki (MSM).

    “Namun statistik terkini bagi jangkitan penyakit hubungan kelamin menunjukkan trend penurunan,” jelasnya.

    Manakala jangkitan gonococcal turut mencatatkan penurunan daripada 57 kes pada tahun 2023 kepada 52 kes pada tahun 2024, dan kes jangkitan sifilis (meliputi semua jenis) menurun daripada 204 kes pada tahun 2023 kepada 149 kes pada tahun 2024.

    Menyentuh mengenai pemeriksaan pra-nikah secara mandatori, jelas Yang Berhormat Dato, pertimbangan untuk melaksanakan pemeriksaan saringan kesihatan pra-nikah secara mandatori memerlukan penilaian menyeluruh berdasarkan pelbagai faktor.

    “Ini termasuk keperluan perubatan, implikasi etika, penerimaan masyarakat dan aksesibiliti terhadap pemeriksaan saringan tersebut kepada semua lapisan masyarakat,” jelasnya.

    Yang Berhormat Dato turut menyarankan individu yang berisiko untuk mendapatkan ujian darah untuk HIV dan Thalassemia dari klinik-klinik atau hospital yang berdekatan.

    “Kit ujian segera bagi HIV, iaitu ujian HIV rapid test juga boleh didapati di beberapa klinik swasta di negara ini,” tambahnya.

    Menurutnya, perkhidmatan ujian tersebut adalah percuma untuk semua rakyat dan penduduk tetap negara ini di semua pusat-pusat kesihatan dan hospital-hospital kerajaan, dan ujian-ujian bagi mengenal pasti penyakit HIV dan Thalassaemia dibuat secara rutin, terutama dalam konteks pemeriksaan kesihatan dan saringan bagi mereka yang berisiko.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda