Ujian swab akan diadakan di Kuala Belait

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OGOS – Dalam masa terdekat, ujian swab secara pandu lalu akan diadakan di Kuala Belait dan dilihat dari segi kesesuaian tempatnya.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menyatakan perkara tersebut semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau seterusnya menjelaskan, penambahan ujian swab pandu lalu itu difikirkan setelah melihat swab pandu lalu yang terletak di BRIDEX berjalan dengan lancar dan Kementerian Kesihatan berharap untuk membuat ujian swab sebanyak yang mungkin.

Pada sidang media itu, Yang Berhormat Dato turut mengongsikan mengenai kes yang masih belum dikenal pasti yang mana setakat ini 70 peratus kes didapati mempunyai hubungan dengan kluster yang ada manakala 30 peratus lagi, masih belum dikenal pasti.