Sunday, April 20, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ujian swab di Pusat Insani dapat sambutan

    Oleh Daniel Lim

    BELAIT, 30 OGOS – Susulan kejayaan pelaksanaan pusat swab pandu lalu di Dewan BRIDEX, Jerudong awal minggu lalu, satu lagi pusat pandu lalu dibuka di Daerah Belait yang mula beroperasi hari ini, sebagai usaha untuk meningkatkan kapasiti ujian bagi virus SARS-CoV-2.

    Tinjauan ke pusat berkenaan yang terletak di Pusat Insani, Seria, hari ini, menyaksikan pegawai-pegawai perubatan dan sukarelawan berdiri bagi mengalu-alukan orang ramai yang ingin menjalani ujian swab.

    Ketika ditemui, Ketua Jabatan Pergigian di Hospital Suri Seri Begawan (SSB), Dr Joseph Maxim yang juga mengetuai pusat swab di Daerah Belait, menjelaskan bahawa hari pertama pusat swab berkenaan mampu membuat ujian bagi 170 individu.

    “Setakat ini bagus kerana hanya beberapa slot yang tinggal, dan kami berhasrat untuk terus meningkatkan kapasiti ujian (di kemudahan ujian swab itu) kepada sekitar 600 orang sehari,” ujarnya.

    Ditanya mengenai tempoh menunggu bagi individu, beliau menjelaskan bahawa prosesnya dijangka serupa dengan pusat swab di BRIDEX iaitu kira-kira lima minit.

    Petugas kesihatan melakukan ujian swab di Pusat Swab Pandu Lalu Pusat Insani, Seria, kelmarin.
    Pemandu tiba untuk ujian swab dijalankan pada hari pertama Pusat Swab Pandu Lalu Pusat Insani Seria, kelmarin.

    Seperti ujian swab lain, ujian yang digunakan pusat pandu lalu berkenaan juga akan menggunakan Poly-merase Chain Reaction (PCR), dengan swab yang dikumpulkan dihantar ke pusat ujian utama di Daerah Brunei dan Muara dan keputusannya akan dihantar kepada individu menerusi pesanan ringkas, yang akan mengambil masa kira-kira dua hari.

    Dr Maxim juga mengambil kesempatan untuk menekankan kepentingan menggunakan aplikasi QueUP bagi kemudahan dan memastikan proses berjalan lancar.

    “Kebanyakan orang tidak sedar bahawa kami memerlukan individu untuk mendaftar pada aplikasi QueUP yang bukan sahaja memastikan kawasan sekitar tidak sesak dengan trafik malah sebagai kemudahan dan mudah digunakan bagi kami (pegawai perubatan) dan pengunjung,” tambah beliau.

    Oleh itu, beliau menggalakkan orang ramai yang ingin menjalani ujian supaya mendaftar terlebih dahulu menggunakan aplikasi tersebut di samping aplikasi BruHealth, dengan kedua-dua aplikasi itu dikemas kini dengan maklumat tepat seperti nama, nombor BruHIMS, nombor kad pengenalan dan tarikh bagi ujian swab.

    Ini adalah untuk memastikan bahawa maklumat betul dan berkaitan dapat disahkan oleh pegawai-pegawai perubatan yang ditempatkan di pusat tersebut.

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda