Ujian swab pandu lalu diperkenalkan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OGOS – Untuk meningkatkan kapasiti ujian swab bagi SARS-CoV-2, sebuah pusat swab menggunakan kaedah pandu lalu akan mula beroperasi esok (23 Ogos).

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar berkata, pusat swab yang ditempatkan di BRIDEX Jerudong itu akan beroperasi dengan langkah-langkah tertentu.

Beliau mengongsikan perkara berkenaan dalam Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Dato menjelaskan lanjut, hanya dua orang sahaja dibenarkan untuk mendapatkan ujian swab dalam sebuah kenderaan (iaitu seorang pemandu dan seorang penumpang) dan hanya satu tempahan sahaja perlu dibuat bagi setiap kenderaan.

“Perkhidmatan ini hanya akan diberikan kepada penumpang yang berumur 12 tahun ke atas sahaja. Perkhidmatan ini hanyalah bagi pemandu dan penumpang yang mempunyai nombor Bru-HIMS yang sah sahaja,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Ujian swab yang dilakukan oleh para petugas kesihatan di salah sebuah pusat swab di Perak, Malaysia. Negara Brunei Darussalam juga akan mula menggunakan kaedah ujian swab secara pandu lalu bermula hari ini. – Bernama

Tambahnya, bagi pemandu dan penumpang yang mempunyai kod BruHealth berwarna hijau atau kuning, mereka hendaklah tidak mempunyai tanda-tanda jangkitan influenza seperti batuk, selesema, demam dan sakit tekak.

Selain itu, pusat swab tersebut juga akan menerima mereka yang mempunyai kod BruHealth berwarna merah iaitu mereka yang diarahkan untuk menjalani ujian swab.

“Perkhidmatan di pusat swab ini bukanlah untuk mana-mana individu yang memerlukan ujian bagi tujuan keluar negara atau pre-departure swab. Ujian swab bagi tujuan keluar
negara boleh diperolehi di pusat-pusat swab lain sebagaimana lazimnya,” jelas beliau.

Untuk menempah slot perjanjian di pusat swab pandu lalu tersebut, individu terlebih dahulu perlu memuat turun aplikasi mudah alih QueUp.

Mereka (pemandu atau penumpang) juga perlu memastikan maklumat adalah tepat dan betul iaitu nama penuh seperti dalam kad pengenalan, nombor kad pengenalan pemandu, nombor BruHIMS yang sah dan nombor telefon bimbit untuk menerima keputusan ujian.

Pusat swab pandu lalu tersebut akan beroperasi pada setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu sahaja, dari pukul 8 pagi sehingga 8 malam.

“Di kesempatan ini, marilah kita berdoa semoga Allah SWT akan sentiasa mengurniakan kekuatan, ketabahan dan keafiatan kepada kesemua petugas-petugas barisan hadapan agar mereka dapat terus berjuang dan berkhidmat demi bangsa dan negara.

“Dalam masa yang sama, doakan supaya semua rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam sentiasa sihat walafiat dan perlindungan oleh Allah SWT jua. Teranah tah di rumah,” kata Yang Berhormat Menteri Kesihatan di hujung kenyataannya.