Ujian swab sebelum ke Brunei

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Bagi mempertingkatkan lagi kawalan keluar masuk warganegara asing ke Negara Brunei Darussalam melalui pos-pos kawalan darat, atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu`izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, warga asing adalah dikehendaki untuk menjalani ujian makmal SARS-CoV2 RT-PCR sebelum memasuki negara ini bagi tujuan keselamatan dan mengekang penularan wabak COVID-19.

Hasil keputusan ujian tersebut hendaklah dihadapkan kepada pihak Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan di pos kawalan mereka masuk di mana keputusan ujian yang negatif boleh digunakan dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh ujian yang dijalani.

Syarat itu adalah dikenakan bagi setiap kemasukan warganegara asing termasuk pejalan transit dan pemandu serta penumpang kenderaan-kenderaan komersial (transport operators).

Di samping itu, pihak Kementerian Kesihatan juga akan menjalankan ujian saringan SARS-CoV2 di kalangan pemandu serta penumpang kenderaan-kenderaan komersial (transport operators) yang memasuki Negara Brunei Darussalam melalui pos-pos kawalan darat secara rambang. Manakala perjalanan masuk bagi kenderaan-kenderaan komersial dari luar negara yang dijamin oleh Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui pos-pos kawalan darat adalah dihadkan kepada tiga kali seminggu sahaja iaitu setiap hari Selasa, Khamis dan Sabtu.