Ujian swab untuk memastikan pesakit telah sembuh

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Bagi mereka yang telah diuji positif COVID-19 dan masih menjalani kuarantin di rumah, mereka dibenarkan untuk melakukan ujian swab di pusat yang ditentukan walaupun kod warna BruHealth mereka menunjukkan warna ungu.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menjelaskan bahawa terdapat beberapa penemuan baharu yang sedang dianalisis di negara asing terutama gelombang kedua dan ketiga COVID-19 termasuk varian Delta.

Jika pesakit telah sembuh atau merasa sihat pada hari ketujuh atau kelapan, mereka menganggap virus tersebut tidak lagi menular tetapi dalam memastikan dan menentukan keadaan mereka, Kementerian Kesihatan masih akan melakukan ujian swab untuk memastikan pesakit pulih.

“Mungkin pada masa hadapan, kita tidak lagi melakukan ujian swab setelah pesakit menamatkan tempoh kuarantin selama 14 hari seperti yang dilakukan oleh beberapa buah negara luar yang melakukan kaedah tersebut.

“Tetapi Brunei masih menjalankan ujian swab hanya untuk memastikan mereka pulih daripada COVID-19,” jelas Yang Berhormat Dato pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Dewan Al- Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Bagaimanapun, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menjelaskan bahawa perkara itu masih dalam perbincangan dengan jawatankuasa teknikal kementerian.

Menyentuh mengenai kes tidak diketahui yang memberikan jumlah berbeza setiap hari, Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa jumlah ini adalah antara kelompok yang ada, sama ada kontak pertama atau kontak kedua yang pada masa ini menjalani tempoh pengasingan.

Beliau seterusnya menjelaskan, untuk mengenal pasti ia memerlukan masa untuk menghubungkan kluster dengan beberapa proses temu bual dengan mereka, yang mana mengambil masa.