PASTINYA tiada siapa suka diuji, lebih-lebih lagi dugaan itu memerlukan pengorbanan besar dalam hidup sama ada dalam aspek harta, masa, tenaga mahupun nyawa insan tersayang. Bagaimanapun, pendakwah antarabangsa, Syeikh Sajid Umar dalam ceramah umumnya mengingatkan bahawa umat Islam perlu menyakini setiap ujian diturunkan Allah SWT hakikatnya mempunyai kelebihan tersendiri, luar daripada pengetahuan individu tersebut.
Malah, tambah Pengarah Bahagian Pembangunan Islam World Mercy Mission itu, lebih kerap dan besar sesuatu dugaan yang menimpa, semakin tinggi serta besar juga tanda kecintaan Allah kepada hamba-Nya. “Wahai anak Adam ketahuilah, apabila kamu diuji, fahamilah apa itu erti kesabaran, hayatilah keperluan sifat itu. Sedarlah kamu sebagai makhluk, pasti akan diuji kerana ini merupakan sunnatullah (hukum Allah).”
“Allah akan menguji kita sebagaimana Dia menguji umat Islam terdahulu termasuk para Nabi. Malah pesuruh-Nya, Nabi Muhammad SAW penghulu segala nabi juga diuji dengan ujian yang dahsyat. “Sebagaimana sabda Rasulullah maksudnya: “Sesungguhnya, besarnya pahala sesuai dengan besarnya cubaan. Jika Allah mencintai suatu kaum, maka Dia akan menimpakan ujian buat mereka. Sesiapa yang reda, maka dia akan meraih keredaan Allah. Sesiapa yang marah (tidak reda) dengan musibah itu, maka baginya kemurkaan Allah.” – Riwayat Tirmizi,” katanya.
Dilahirkan di Leicester, United Kingdom, Sajid berpindah ke Harare, Zimbabwe dan mendapatkan pendidikan rendah serta menengah sebelum melanjutkan pengajian ijazah pertama dalam bidang Teknologi Maklumat di negara tersebut.
Mengikuti Akademi Al-Quran pada usia 18 tahun membuatkan beliau tertarik untuk mendalami Pengajian Islam. Sajid kemudian berhijrah ke Riyadh, Arab Saudi dan berjaya meraih beberapa kelulusan pendidikan termasuk Diploma Bahasa Arab dan Sains Islam, Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Ijazah Sarjana Dalam Kehakiman (Qadha), dengan Kepujian.

Beliau kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang undang-undang di Universiti al-Imam. Sajid berkata, umat Islam perlu yakin dengan ketentuan Ilahi sekiranya diuji sebagaimana Allah menjelaskan dalam Al-Quran iaitu setiap manusia akan diuji mengikut tahap keimanan masing-masing.
Ia sebagaimana firman Allah bermaksud: “Dan sungguh akan Kami berikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan…,” (al-Baqarah: 55) Bagaimanapun Sajid berkata, di sebalik ujian yang diturunkan, Allah telah memberikan penyelesaian sebagai panduan umat Islam bagi meningkatkan tahap keimanan hamba-Nya.
“Firman Allah: “Carilah pertolongan kamu daripada sabar dan solat. Sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat kecuali bagi orang yang khusyuk.” (al-Baqarah : 45)
“Begitu juga Allah mengajarkan kita sebagaimana firman-Nya: “Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar, (iaitu) orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, ‘Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun’. Mereka itulah orang yang mendapat keberkatan sempurna dan rahmat dari Tuhannya, dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk.” (al-Baqarah :156-157), katanya.
Sehubungan itu, Sajid berkata, umat Islam tidak boleh berfikiran singkat dengan menganggap ujian itu sebagai hukuman atau seksaan sehingga bertindak melakukan perbuatan di luar batasan syariat. “Kita perlu sedar, kita bukan dicipta untuk ditempatkan di dunia ini tetapi menuju akhirat iaitu syurga Allah yang kekal abadi. Dunia hanyalah perantaraan dan ujian itu yang menjadi ukuran destinasi akhir kita kelak.
“Allah berfirman dalam surah al-Ankabut ayat 2 dan 3 maksudnya: “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang berdusta,” jelasnya.