Ujian Tasmie’ kali kedua 2020 mulai Julai

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JUN – Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) selaku Urus Setia Lembaga Tasmie’ Menghafaz Al-Quran Negara Brunei Darussalam akan mengadakan Ujian Tasmie’ Menghafaz Al-Quran kali kedua bagi 2020, bermula Julai depan yang dibukakan kepada warganegara dan penduduk tetap sahaja.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan KHEU, borang permohonan bagi mengikuti ujian berkenaan boleh diperolehi di Pejabat Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS di Blok 2H, Tingkat 8, Bangunan Kondominium Ong Sum Ping (Bangunan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah Perempuan), Jalan Ong Sum Ping, di sini mulai 22 Jun.

Tarikh tutup permohonan adalah pada 14 Julai. Waktu pengambilan dan penghantaran borang adalah dari pukul 8:30 pagi hingga 11:30 pagi dan 2 petang hingga 3 petang sahaja.

Pemohon atau wakil dinasihatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard berkaitan pandemik COVID-19 semasa berurusan di Pejabat Urus Setia Lembaga Tasmie’ Menghafaz Al-Quran Negara Brunei Darussalam.

Untuk maklumat lebih mengenai perkara berkenaan, bolehlah menghubungi Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS di talian 2237512 atau 22333364.