Ujian varian COVID-19 dilakukan dalam negara

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 DIS – Menerusi hasil ujian genotyping atau sequencing, Kementerian Kesihatan kini lebih cepat menentukan pengesahan varian jangkitan kes COVID-19 sejak November lalu berbanding sebelumnya yang memerlukan masa dua ke tiga bulan apabila sampel-sampel kes dihantar ke luar negara.

Dengan adanya kemudahan ujian berkenaan di negara ini, ia hanya mengambil masa lebih kurang 10 hingga 14 hari sahaja.

Perkara tersebut telah dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar ketika mengulas mengenai tempoh hasil ujian genotyping atau sequencing bagi menentukan varian Omicron pada sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini.

“Semua kes import yang didapati positif COVID-19 akan dilakukan ujian genotyping atau sequencing pada masa kini dan tidak terkecuali kes-kes positif dalam kalangan masyarakat setempat di negara ini turut mengikuti kaedah ujian yang sama bagi mengesan varian tertentu,” tambah Yang Berhormat Dato.

Sementara itu, Yang Berhormat Dato turut berkongsi bahawa penemuan kes jangkitan Omicron pada hari ini tiada kaitan dengan penemuan kes pertama lalu dan kes-kes varian berkenaan terdiri daripada kes import.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa sidang media yang berlangsung di Dewan Al-’Afiah, Kenterian Kesihatan, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani